"SAYA nafikan, itu semua tohmahan nak mengaibkan saya."
Demikian kenyataan balas dibuat Fattah Amin terhadap Fazura berhubung dakwaan mengabaikan nafkah dan curang sehingga mengakibatkan keretakan rumah tangganya.
Menganggap ia sebagai satu aib yang sengaja direka-reka demi menjatuhkan reputasinya, Fattah tegas menyatakan dia tidak pernah culas dalam memberikan nafkah sebagai seorang suami.
BACA LAGI: Dakwa curang dan abai anak bertahun lamanya, Fazura-Fattah Amin sah bercerai talak 1
BACA LAGI: Demi maruah, Fazura nekad terus tuntut cerai daripada Fattah di mahkamah
“Jangan la main sentimen macam ni, saya tahu tanggungjawab saya, nafkah semua saya beri mengikut kewajipan.
“Dia kata tak pernah bagi, mungkin tak cukup la kot untuk dia.
“Suruh dia tunjuk WhatsApp, bukti saya abai nafkah dan sebagainya, sebelum ni dia tak berkata apa-apa pun tapi kenapa kali ini tiba-tiba buat dakwaan mengaibkan saya,” katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.
Dalam pada itu, Fattah turut menegaskan bahawa dia mempunyai bukti yang kukuh bahawa dakwaan tersebut sengaja dilakukan demi menjatuhkan maruahnya.
“Saya ada bukti tohmahan itu untuk malukan saya, mencemarkan nama baik saya sedangkan kita dah ada perjanjian bersama sebelum saya lafaz tadi.
“Sepatutnya kita sama-sama kena jaga aib dan tidak cemarkan nama baik masing masing. Itu perjanjian yang kita telah tanda tangan bersama, saya agak terkejut kenapa tiba-tiba ada kenyataan macam tu daripada dia.
"Saya nafikan benda itu (curang dan tidak beri nafkah). Tiba tiba ada kes curang, semua itu saya nafikan, itu semua tak betul," ujarnya.
Terdahulu, pasangan itu sah bercerai talak satu di mahkamah berkenaan.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram