MUTAKHIR ini, tugas dan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat semakin meluas serta mencabar yang memerlukan anggotanya sentiasa bersiap sedia untuk menempuh apa jua halangan mendatang.
Malah, tugas setiap anggota bomba bukan sekadar memadam api, tetapi melibatkan cabaran besar yang menuntut keberanian, ketahanan mental, dan fizikal yang luar biasa.
Anggota bomba adalah wira yang berkorban demi keselamatan masyarakat, seringkali mengharungi situasi berbahaya dan tidak menentu.
BACA LAGI: 'Berkawad di dapur', diet setiap platun berbeza, pensyarah MSU 'berjuang' dalam dunia kulinari TLDM
BACA LAGI: Tak sangka, abang bomba viral dukung warga emas rupanya pelantun lagu Iban 'Ke Pengujung Seput'
Penolong Penguasa Bomba Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Muhammad Aliff Abdul Ghani berkata, walaupun baru bertugas selama tiga tahun namun banyak pengalaman ketika bertugas pahit manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas.
Apatah lagi pekerjaannya itu memikul tanggungjawab yang besar dalam menyelamatkan nyawa orang awam.
Penolong Penguasa Bomba Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Muhammad Aliff Abdul Ghani
Pemuda berusia 29 tahun itu berkata, antara memori pahit yang tidak dapat dilupakan ketika kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali dekat Hulu Selangor, Selangor pada 16 Disember 2022.
"Itu adalah tugas pertama saya selepas keluar daripada latihan rekrut. Kami diarahkan untuk membantu operasi menyelamat di Batang Kali bersama-sama beberapa anggota baru.
"Namun, situasi yang saya hadapi itu benar-benar memberi kesan mendalam kepada saya," katanya kepada Majoriti.
Menurut Aliff yang ketika itu bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7, Putrajaya, cabaran utama ketika itu bukan hanya dari segi fizikal, tetapi emosi. Setiap kali mangsa yang terkorban ditemui, anggota bomba terpaksa menyimpan mayat tersebut sebelum mereka boleh dihantar ke tempat sepatutnya.
"Saya ingat lagi ketika melihat beg post mortem yang disimpan di tepi kawasan kejadian. Saya benar-benar rasa tersentuh dan itu menjadi titik di mana saya sedar betapa besarnya tanggungjawab kami.
"Dari pegawai peringkat tertinggi sehingga ke pangkat rendah, semua 'turun' menyelamatkan mangsa tanpa mengira pangkat," ujarnya dengan nada sayu.
Walaupun tragedi malang itu merupakan pengalaman pertamanya berdepan dengan bencana besar, Aliff dan pasukannya tetap bersemangat.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan. — Facebook/Bomba Selangor
"Kami tidak pernah berasa lelah atau ingin mengalah, walaupun keadaan pada ketika itu sangat mencabar. Saya perlu bersemangat kerana niat saya adalah untuk membantu. Setiap mangsa yang kami jumpa adalah penggerak semangat untuk kami terus bekerja," jelasnya.
Tambah beliau lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Batang Kali itu berlangsung selama hampir dua minggu, dengan pelbagai agensi lain turut terlibat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kerjasama yang erat antara pasukan penyelamat turut menjadi sumber kekuatan mereka untuk menghadapi situasi yang mencabar itu.
Katanya, pengalaman tanah runtuh itu juga telah mencorakkan kerjayanya sebagai seorang pegawai bomba dan terus menguatkan tekadnya untuk menjalankan tugas mulia tersebut tanpa ragu.
Mengimbau kembali perjalanan kariernya menjadi anggota bomba, Aliff berkata, dia berminat untuk menyertai anggota unit beruniform tersebut kerana arwah ayahnya, Abdul Ghani.
Aliff (berbaju melayu putih) berkata, keluarga dan isterinya merupakan sumber kekuatan utama dalam menjalan tugas sebagai seorang anggota bomba.
"Arwah ayah juga seorang anggota sekali gus ia memberi rangsangan kepada saya untuk sertai pasukan ini.
"Saya berasa bangga dapat teruskan legasi arwah dan sejujurnya ia adalah satu tugas mulia untuk membantu masyarakat setempat," ujarnya.
Bercerita lanjut, anak jati kelahiran Negeri Sembilan ini juga pernah terfikir untuk berhenti sewaktu sesi latihan selepas kematian kakaknya pada 2022.
"Masa dalam rekrut, arwah kakak meninggal disebabkan masalah kesihatan. Saya rasa dunia saya terhenti seketika.
"Tetapi bila dikenangkan kembali arwah kakak yang paling bersemangat bila saya dapat tawaran dan saya teruskan demi dia," katanya dengan sayu.
Semangat dari keluarga, terutama ibu dan arwah kakaknya, telah membantunya meneruskan perjuangan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Kini, Aliff menjadi simbol keberanian dan dedikasi dalam tugasnya untuk menyelamatkan nyawa dan menjaga keselamatan awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram