Pentas Seni Johor platform artis, belia pamer bakat di Tampoi


  • Massa
  • Ahad, 27 Okt 2024

Terletak di B5 Street Market di Tampoi, pentas tersebut membolehkan artis tempatan mempromosi seni dan budaya negeri itu kepada orang ramai.

SEBUAH pentas ruang seni telah dibina di B5 Street Market di Tampoi, Johor Bahru, Johor, untuk para penghibur mempamerkan bakat mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, K. Raven Kumar berkata, Pentas Seni Johor berperanan sebagai platform untuk belia dan artis mempamerkan serta mempromosikan seni serta budaya negeri itu kepada orang ramai.

BACA LAGI: [VIDEO] Bahaya pergerakan tanah cerun berterusan, jalan ke Cameron Highlands ditutup sepenuhnya

BACA LAGI: Stairs of Death antara 5 trail 'bucket list' uji kekuatan fizikal dan mental hikers kental

“Saya percaya langkah ini akan mengukuhkan identiti seni Johor dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Apabila pelancong melawat ke sesebuah tempat, mereka cenderung mencari elemen seperti seni, warisan dan hiburan.

"Langkah ini boleh memenuhi keperluan tersebut," katanya ketika melancarkan pentas seni tersebut.

photo_2024-10-27_16-29-44

K. Raven Kumar yakin pembinaan ruang seni itu mampu menarik lebih ramai pelancong ke Johor.

Terletak di tengah laluan pasar, pentas itu dibiayai oleh Yayasan Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor.

Raven Kumar turut mencadangkan agar platform serupa diwujudkan di semua 10 daerah Johor untuk mempromosi dan mengiktiraf bakat tempatan kerana setiap tempat menurutnya mempunyai ciri budaya tersendiri.

“Hanya apabila saya melawat daerah yang berbeza barulah saya mengetahui bahawa terdapat enam jenis tarian Zapin di Johor dan pelbagai kategori tarian naga wujud dalam budaya Cina.

“Selain mempamerkan bakat tempatan, kami juga mahu mempromosikan ilmu budaya kepada rakyat.

“Ini akan membantu meningkatkan kempen Tahun Melawat Johor 2026 kami untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.

Raven Kumar berkata, platform itu turut memberi manfaat kepada komuniti lain kerana mereka boleh tampil ke pentas untuk memperkenalkan budaya dan warisan kepada orang ramai.

“Johor mempunyai masyarakat Sarawak dan Sabah yang cukup besar dan kami mengalu-alukan mereka untuk berkongsi budaya dan perayaan mereka di Pentas Seni Johor kerana tujuan pentas itu dibina adalah untuk menyebarkan pengetahuan baharu kepada rakyat,” katanya.

Pengerusi Yayasan JCorp Rozaini Mohd Sani berkata, aktiviti seperti bengkel seni kreatif, pameran seni visual dan persembahan muzik tradisional akan diadakan di pentas tersebut sebagai penambahbaikan kepada Tahun Melawat Johor 2026.

“Pentas itu akan menyediakan platform penting untuk artis tempatan berkembang maju, menawarkan mereka peluang untuk mempamerkan bakat dan kreativiti sambil menjana pendapatan daripada karya mereka.

"Inisiatif ini juga akan menyokong artis kurang upaya yang hasil ciptaannya akan dipaparkan di sini," katanya.

Tambah Rozaini, usaha itu mencerminkan komitmen JCorp ke arah mempromosikan Johor sebagai destinasi utama pelancongan seni dan budaya.

Jadual aktiviti dan acara yang akan diadakan di pentas baharu itu akan dikemas kini melalui saluran media sosial yayasan tersebut.

Buat artis tempatan yang ingin menggunakan pentas berkenaan boleh menghantar e-mel kepada [email protected] untuk mendapatkan slot persembahan. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram