Kisah kelainan album baharu Fugo, kisah 99 sifat terpuji, bukan sekadar 'vibe' pop indie


  • Hiburan
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Fugo merupakan sebuah kumpulan muzik bergenre pop indie yang mula bertapak sejak 2019.

EMPAT tahun bertapak dalam industri muzik tanah air, kumpulan indie Fugo kini tampil dengan album 99 khas buat pendengar dari pelbagai lapisan usia.

Mengekalkan genre pop indie sejak 2019, pengaruh pop era 1970-an, 1980-an, funk, rock moden dan muzik 'new wave' dihimpunkan dalam album yang baharu dilancarkan pada Ogos lalu.

Dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Hakim Kamal (vokalis dan pemain gitar), Kayrol Ami (pemain bass) dan juga Fai (pemain keyboard), Fugo yang menjadikan imej vintaj sebagai identiti di pentas mahu melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi.

BACA LAGI: [VIDEO] Asalnya kumpulan nasyid, ‘Di Renjis-Renjis’ versi rock metal jadi identiti muzik CSE Buskers

BACA LAGI: [VIDEO] Mencari Alasanmu dianggap lagu 'resign', mungkin ada kaitan isu peribadi Lukhman S — Ezad Lazim

Mengulas lanjut berhubung penghasilan album pertamanya itu, Hakim Kamal, 31, menjelaskan ilham 99 tercetus daripada sifat terpuji dan nama-nama ALLAH yang dahulunya dipelajari di peringkat sekolah.

"Album 99 ini kami nak terapkan segala kata-sifat terpuji ALLAH yang secara umumnya membawa maksud positif untuk diterapkan dalam hidup.

"Kalau lihat pada bahagian verse dan pre korus lagu berjudul 99 itu pun memang menjelaskan kehidupan kita penuh warna warni dan jatuh bangun dalam hidup.

"Jadi album ini ingin menerapkan moral positif supaya pendengar boleh terapkan dalam hidup," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, album berkenaan menurutnya bersifat universal dan boleh difahami dalam pelbagai sudut makna sama ada negatif ataupun positif.

Katanya, angka 99 itu boleh merangkumi maksud sifat positif ataupun kemelut masalah dihadapi setiap kehidupan di muka bumi.

"Terpulang kepada pendengar untuk menerima album kami dari sudut apa, mungkin juga boleh bermaksud tekanan yang dihadapi setiap hari.

"Jadi terpulang kepada individu untuk memilih jalan yang mana, kalau rasa mahukan penyelesaian maka pilihlah cara positif," katanya.

Turut mendedahkan maksud di sebalik nama kumpulannya, Hakim menjelaskan Fugo membawa maksud jutawan dalam bahasa Jepun dan idea itu tercetus secara spontan.

Mensasarkan untuk dikenali di persada negara, Fugo yang baru selesai mengadakan konsert jelajah sekitar bulan lalu, bakal terus mengadakan persembahan pada festival Futureland 2024 yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 23 November kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram