PERNAH memegang gelaran hero Malaya satu ketika dahulu, pelakon kacak kelahiran George Town, Pulau Pinang, Jehan Miskin, 43, kini semakin menyepi dari industri hiburan tanah air.
Penampilannya yang sebelum ini banyak memainkan watak utama dan hero dalam sesebuah naskhah, kembali menjadi bualan peminat yang mula merindui karier lakonannya.
Filem Anak Halal, Apokalips X, Hikayat Merong Mahawangsa dan Cun! merupakan antara karya Jehan yang paling diingati penonton sehingga ke hari ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Asalnya kumpulan nasyid, ‘Di Renjis-Renjis’ versi rock metal jadi identiti muzik CSE Buskers
Namun, pelakon berbadan sasa itu semakin kurang menghiasi pawagam mahupun kaca televisyen dengan kali terakhir Jehan di layar perak adalah menerusi filem 10 Tips Tipu Bini pada 2021.
Jehan Miskin ketika di awal pembabitannya dalam industri hiburan tanah air.
Ketika disoal akan karier lakonannya yang semakin merudum, Jehan berkata, fokusnya kini lebih tertumpu kepada syarikat kendaliannya berbanding kerjaya sebagai anak seni.
"Memang betul saya dah kurang berlakon sebab banyak fokus kepada dunia perniagaan iaitu syarikat pengiklanan yang dijalankan sejak 2009.
"Dua sebab utama kenapa saya tinggalkan dunia lakonan, pertama sebab saya nak berkarya, keduanya sebab nak ada kehidupan yang aman, saya lebih selesa low profile.
"Saya sekarang lebih tenang, tak ada kontroversi, tak ada netizen kacau saya. Orang tak lagi ikut ke mana saya pergi macam artis popular satu ketika dahulu, ia sudah berlalu tapi my life is still good, sebab orang masih kenal saya.
"Saya lebih selesa bekerja sebagai pengarah, menghasilkan idea dan karya secara belakang tabir, Alhamdulillah banyak iklan yang dihasilkan semuanya mendapat maklum balas positif," katanya kepada Majoriti.
Kurang beraksi di hadapan kamera, Jehan atau nama sebenarnya Mohamad Jehan Miskin kini lebih mengutamakan kerjaya sebagai seorang produser dan pengarah di syarikat miliknya, Mastermind Group Sdn Bhd.
Menyediakan khidmat iklan komersial profesional, Jehan lebih banyak berkarya di belakang tabir yang secara umumnya, tidak diketahui ramai.
Meskipun penampilannya tidak kelihatan di kaca televisyen, namun penonton pastinya cukup sinonim dengan beberapa karya iklan terbitannya, yang cukup popular dan kerap dimainkan di televisyen mahupun platform YouTube.
Beberapa syarikat dan jenama besar negara seperti Petronas, Takaful Malaysia, Watson dan Astro merupakan antara klien yang pernah berurusan dengan Mastermind Group.
Jehan Miskin kini gemar meluangkan masa menunggang motosikal ke luar negara.
Dalam pada itu, Jehan turut berkongsi pengalamannya ketika merantau ke beberapa negara dengan menunggang motosikal.
Cukup meminati dunia pemotoran sejak sekian lama, bekas pengacara rancangan realiti So You Think You Can Dance (2017) itu banyak mengembara ke luar negara yang menurutnya satu kepuasan selepas meninggalkan dunia seni tanah air.
"Saya memang kaki ride, pada 2014 saya mula mengembara dari Kuala Lumpur ke China selama sebulan, 2016 ke New Zealand dan 2018 ke Himalaya, India.
"Boleh kata setiap tahun mesti akan ride ke satu negara, tapi sekarang lepas dah dikurniakan cahaya mata saya kena kurangkan sikit.
"Ini yang saya maksudkan peaceful life, kalau saya kekal dalam dunia lakonan, mustahil saya boleh buat semua ni sebab akan terikat dengan karier lakonan, tapi pada masa sama aktif hasilkan iklan dalam industri," katanya.
Turut merancang untuk melebarkan sayapnya sebagai pengarah filem satu hari nanti, Jehan tidak menolak untuk kembali mewarnai industri namun perlu bersesuaian dengan komitmen kerjanya.
Kini, tumpuannya lebih terarah kepada syarikat produksi video miliknya dan akan terus berkarya secara belakang tabir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram