[VIDEO] Terlupa mesin masih beroperasi, pekerja kilang di China terbelah 2 dihimpit pemadat logam


  • Benua
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Tangkap layar memaparkan seorang pekerja kilang maut selepas dihimpit mesin pemadat logam di sebuah kilang dekat China. — Agensi

SEORANG pekerja kilang temui ajal selepas badannya dihimpit pemadat logam dalam satu kejadian di sebuah kilang pemprosesan kitar semula logam di China.

Kejadian pada 20 September lalu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan sebelum dikongsikan di media sosial baru-baru ini.

Pada awalnya, lelaki pertengahan usia tersebut mengendalikan kren untuk mengangkat bahan-bahan logam ke dalam mesin untuk dipadatkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja kilang di China temui ajal kepala tersepit ketika cuba keluarkan kertas tersekat pada mesin

BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes mengamuk pecah cermin kereta, besar kemungkinan angkara masalah ‘sambung bayar’

Tidak lama kemudian, pekerja itu bertindak keluar dari kren selepas mendapati terdapat kerosakan pada mesin pemadat tersebut.

Dia mengambil keputusan untuk memeriksanya secara lebih dekat sebelum masuk sendiri ke dalam lubang yang disediakan untuk memadatkan bahan logam.

Selepas masuk ke dalam lubang tersebut, rakaman video berdurasi lebih satu minit itu turut menunjukkan pekerja yang memakai jaket biru berkenaan menyusun sendiri beberapa kepingan logam yang tidak berada di tempat sepatutnya.

Mangsa dipercayai berbuat demikian bagi membolehkan operasi berjalan seperti biasa.

Proses berbahaya itu dilakukan tanpa menggunakan tali keselamatan atau topi keledar sebagai langkah keselamatan.

Lelaki itu terus menyusun logam selama beberapa saat dan dia juga dipercayai terlupa bahawa mesin pemadat masih beroperasi seperti biasa.

Pekerja berkenaan tetap berada di dalam lubang berkenaan sebelum penutup mesin penekan hidraulik itu turun secara perlahan-lahan.

Selepas menyedari keadaan itu, dia cuba keluar namun usahanya terlambat apabila separuh penutup mesin itu sudah menghimpit separuh badannya sebelum dia dilihat sudah tidak sedarkan diri beberapa saat kemudian.

Rakaman yang tular itu turut mendapat perhatian warga maya dengan rata-ratanya berharap agar orang ramai mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

Mereka juga menekankan kepentingan latihan dan kepakaran dalam setiap bidang bagi mengelakkan kemalangan akibat kecuaian berlaku di tempat kerja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram