SEORANG wanita yang membuat cerita rekaan dengan mendakwa diri dipaksa melacur untuk menyelesaikan hutang pinjaman along dilakukan bapanya dalam satu program audio siar di TikTok dikenakan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah membuat kenyataan palsu.
Jika gagal membayar denda tersebut, wanita terbabit bakal berdepan hukuman penjara sembilan bulan.
Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin di George Town, Pulau Pinang pada Jumaat.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Dia mengaku membuat kenyataan palsu dari apartmennya di Ampang Jajar, Butterworth kira-kira pada pukul 3.30 petang pada 26 Julai lalu.
Tindakannya itu dikatakan menimbulkan ketakutan orang ramai dan membawa kepada siasatan polis.
Wanita terbabit didapati bersalah mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, polis mengesan video di TikTok menunjukkan Wan Ainsyatul mendakwa bapanya berhutang RM20,000 dan memberi nama dan alamat ahli keluarganya kepada peminjam.
Dia menambah bahawa ah long telah memaksanya bekerja di rumah pelacuran sejak Februari.
Susulan daripada itu, polis kemudiannya berjaya mengesannya dan mendapati cerita itu adalah rekaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram