TANGGAPAN bahawa produk Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) sukar menembusi pasaran negara masih menebal sehingga hari ini.
Pandangan sedemikian boleh dianggap kurang tepat memandangkan beberapa atlet yang membawa nama negara di temasya Olimpik dan Sukan SEA pernah bersaing dalam dua kejohanan berkenaan.
Ini menunjukkan kedua-dua karnival sukan mempunyai nilai tersendiri kepada persatuan yang mahu menilai keupayaan sebenar seseorang sebelum boleh melangkah ke tahap lebih mencabar.
BACA LAGI: Belanjawan 2025: Suntikan dana KPT, KBS boleh jadikan SUKIPT, MASUM tahun depan lebih 'bernyawa'
BACA LAGI: 'Late bloomer', jangan jadikan atlet SUKIPT, MASUM mangsa keadaan
UPSI merupakan antara pasukan pilihan dalam setiap temasya sukan universiti.
Namun, tidak boleh dinafikan terdapat bekas atlet MASUM dan SUKIPT berdepan cabaran untuk membawa nama ke peringkat seterusnya meskipun sudah mempamerkan bakat di peringkat universiti.
Selain gagal menerima pendedahan berterusan, pelbagai faktor lain menyebabkan mereka terpaksa akur untuk meninggalkan sukan yang sudah diceburi buat bertahun-tahun lamanya dan memberikan tumpuan ke arah bidang berbeza.
Hal berkenaan diakui jurulatih sukan olahraga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Izzat Narozi yang pernah melihat situasi tersebut dalam kalangan atlet.
"Pada pandangan peribadi saya, untuk sesetengah atlet yang sebelum ini di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berjaya menarik perhatian ramai.
"Tetapi, apabila melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, memang ada atlet yang memilih untuk berhenti daripada berlatih dan menceburi sukan demi fokus dalam pembelajaran dan mendalami kerjaya yang tidak lagi terlibat dengan sukan mereka," katanya kepada Majoriti.
Fasiliti latihan menjadi faktor kesinambungan seseorang atlet. — Facebook/Unit Fotografi Korporat UPSI
Keputusan berkenaan sudah tentu sukar untuk diambil memandangkan minat akan sukan diceburi masih tersemat dalam jiwa, namun terpaksa akur terhadap cabaran dan kekangan dihadapi.
Perkongsian daripada jurulatih itu sedikit sebanyak menceritakan mengenai punca seseorang atlet memilih untuk meninggalkan bidang dipilih dengan fokus terhadap kerjaya merupakan salah satu faktor utama.
Selain itu, Izzat berasakan kekangan turut dialami dari segi kelengkapan fasiliti dan kemahiran di IPT disertai yang menyebabkan perkembangan mereka sedikit terjejas.
"Ada juga atlet pergi ke universiti yang mana mereka tidak mampu menyambung latihan. Ini adalah salah satu faktor mengakibatkan seseorang berhenti daripada sukan mereka," katanya lagi.
Meskipun dana sudah diperuntukkan bagi menambah baik fasiliti dan peralatan sukan, kekangan dari segi kepakaran masih dialami apabila atlet tidak dapat berada bersama barisan kejurulatihan diperlukan.
Kesan daripada perkara sebegini sudah tentu membuatkan mereka sukar menerima latihan diperlukan, sekali gus menyebabkan prestasi direkodakn buat bertahun-tahun lamanya lesap begitu sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram