AKSI minggu ke-13 saingan Liga Super 2024 akan menyaksikan pertembungan menarik antara pasukan tuan rumah, Penang FC bertemu Sabah FC yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat.
Beraksi di laman sendiri, sudah pasti skuad kendalian Akmal Rizal itu mahu meraih tiga mata berharga apatah lagi dengan sokongan padu daripada penyokong yang hadir.
Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang pastinya enggan memandang rendah akan kekuatan yang dimiliki oleh Sang Badak lebih-lebih lagi kini berada dalam prestasi terbaik.
BACA LAGI: Enggan terbuai kemenangan bertemu Jeonbuk, Ali Olwan harap Selangor kekal prestasi berdepan JDT
Dalam perlawanan bertemu Perak FC Jumaat lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berjaya memberi cabaran sengit apabila meraih tiga mata berharga selepas menundukkan The Bos Gaurus (TBG) dengan keputusan 4-2.
Dalam pada itu, menjelang perlawanan penting di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu, rata-rata penyokong Harimau Kumbang menuntut janji yang pernah ditaburkan oleh pemain tengah, Syamer Kutty Abba.
"Kami nak tuntut janji Syamer Kutty, hang kata nak cuba menang, tolong tunjukkan lawan Sabah ni," kata Muhd Syafiq.
"Tolonglah, jangan bagi kami harapan palsu lagi, penyokong datang nak tengok menang, bukan kekalahan," kata Syamsul Bahrain Omar.
"Harap sangat-sangat Penang akan dapat tiga mata, jangan hampakan penyokong lagi," kata Yus Penang.
Dalam perlawanan liga sebelum ini, Penang FC terpaksa menelan pahit apabila tewas 0-1 kepada Sri Pahang.
Kekalahan tersebut membuatkan Pennag menduduki tangga ke-11 liga dengan 11 mata sambil merekodkan kekalahan kelima mereka musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram