Sezaman dengan Amy Search dan Awie Wings, legenda rockers wanita Indonesia, Inka Christie kini fokus dakwah, ada syarikat travel umrah


  • Hiburan
  • Sabtu, 19 Okt 2024

Inka Christie (tengah) pernah berkongsi pentas bersama penyanyi rock tanah air, Amy dan Awie satu ketika dahulu.

PERNAH memegang gelaran ratu rock wanita Indonesia satu ketika dahulu, Inka Christie, 51, kini mengubah haluannya apabila banyak melibatkan diri dengan aktiviti kerohanian islamik.

Pun begitu, legasi rock dan populariti diraih ketika di awal pembabitannya dalam industri muzik era 1990-an cukup menarik untuk diperkatakan.

Manakan tidak, penyanyi tersebut turut mencipta nama di Malaysia apabila digandingkan dengan Amy Search menerusi lagu duet Cinta Kita pada 2005.

BACA LAGI: [VIDEO] Idam 3 anak sebelum usia 30, Tya Arifin dedah pernah keguguran ketika bercuti di Turkiye

BACA LAGI:[VIDEO] Didi rimas dicop tiru Bella Astillah, sedar ramai tak suka tinggalkan dunia pramugari

6091562974050369663

Inka (kanan) ketika mengadakan konsert bersama Amy Search.

Malaysia yang ketika itu dilanda 'demam' rock kapak, amat menyambut baik kedatangan penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia tersebut.

Malah, peminat satu ketika dahulu pernah mengimpikan gandingan trio yang terdiri daripada Inka Christie, Amy dan Awie yang dianggap mampu menggegar dunia jika menjadi realiti.

Pejam celik selepas hampir setengah abad, Inka mengambil keputusan untuk berhijab di usia 48 tahun selepas dipertemukan jodoh dengan suaminya yang 12 tahun lebih muda daripadanya.

Sejak itu, karier nyanyiannya semakin perlahan dan penyanyi rock itu mula melakukan perubahan dari segi genre dan pemilihan lagu yang berkonsepkan islamik.

Sehingga kini, Inka masih bergiat aktif dalam industri muzik Indonesia dengan lagu terbaharunya, Anugerah Cinta yang baru sahaja dilancarkan pada Januari lalu.

Tidak lagi mendedahkan aurat di khalayak ramai, penampilan Inka di pentas kini lebih gemar berpakaian jubah dan labuh yang menurutnya lebih sopan sebagai seorang isteri.

63aa6ba46468d

Inka Christie mula berhijab selepas mendirikan rumah tangga pada 2019.

Dalam pada itu, Inka turut menjalankan perniagaan syarikat umrah dan haji dinamakan nettour.bandung di Indonesia.

Mendapat sambutan ramai dalam kalangan peminat dan masyarakat di sana, pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad difahamkan antara mutawif yang berkhidmat bersama syarikatnya.

Terbaharu, Inka difahamkan bakal mengadakan konsert bersama beberapa penyanyi lain bagi memperingati nasib penduduk di bumi Gaza yang terkorban pada 20 Oktober nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram