[VIDEO] Guru vokal berbangsa India minat gila TokTi, dilabel pengganti Jaclyn Victor


  • Hiburan
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Roshini Balachandran (tengah) kerap menerima jemputan persembahan nyanyian.

MEMINATI Datuk Seri Siti Nurhaliza sejak kecil, Roshini Balachandran, 27, merancang untuk menerbitkan sebuah album bahasa Melayu yang diinspirasikan daripada penyanyi nombor satu negara itu.

Meskipun sudah lama bertapak dalam industri muzik Tamil, namun anak jati Butterworth, Pulau Pinang itu mahu dikenali dalam kalangan pendengar Melayu yang menurutnya lebih meluas dan berpotensi besar dalam industri.

Memiliki lebih tujuh lagu hasil ciptaannya sendiri, Roshini yang juga merupakan seorang guru vokal mahu menambah koleksi lagu Bahasa Melayu dalam karier nyanyiannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Mencari Alasanmu dianggap lagu 'resign', mungkin ada kaitan isu peribadi Lukhman S — Ezad Lazim

BACA LAGI: [VIDEO] Didi rimas dicop tiru Bella Astillah, sedar ramai tak suka tinggalkan dunia pramugari

350522687_232741406131314_7091872191968449634_n

Roshini (kanan) memasang impian untuk meneruskan karier nyanyiannya ke peringkat tertinggi.

"Saya memang rancang untuk hasilkan lagu Bahasa Melayu dan seterusnya album dalam masa terdekat.

"Perancangan itu dah ada cuma semuanya masih dalam peringkat awal, alang-alang saya pun memang minat Siti Nurhaliza sejak kecil jadi ini la masanya untuk tonjolkan bakat.

"Lagu Cindai merupakan lagu pertama yang saya belajar waktu kecil, ibu bapa yang kenalkan saya dengan Siti Nurhaliza dan sampai ke hari ini saya mengidolakan penyanyi nombor satu itu," katanya kepada Majoriti.

Video nyanyiannya yang meraih perkongsian ramai di laman Facebook baru-baru ini hangat diperkatakan warganet hinggakan ada yang mula melabelnya sebagai penyanyi berbangsa India kedua selepas Jaclyn Victor.

@jesbon76 #bukancintabiasa #roshinibalachandran #jesbon76 ♬ original sound - JESBON_76

"Saya ada terbaca juga komen seperti itu, rasa bangga juga bila disamakan dengan Jaclyn Victor yang memang semua orang tahu sangat berbakat dan terkenal tetapi saya masih jauh lagi perjalanan.

"Memang betul tak ramai penyanyi berbangsa India selepas dia, tak salah saya pasang impian untuk ikut jejak langkah sama dan memang ingin serius dalam karier nyanyian.

"Setakat ini saya hanya ada satu lagu berbahasa Melayu, nampak sambutan amat menggalakkan dan harap dapat hasilkan lebih banyak karya yang bagus-bagus di masa akan datang," ujarnya.

Terdahulu, Roshini merupakan salah seorang peserta rancangan realiti Big Stage Tamil pada 2022 dan pernah menduduki tempat ke-4 dalam pertandingan nyanyian pada usianya 12 tahun selain menjuarai Bintang Minnal FM (2016) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kini, Roshini merupakan seorang guru vokal dan sering memuat naik video nyanyiannya di laman media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram