SIAR: Bukan setakat Gelora, lagi karya Seniman Agung P. Ramlee pernah digam angkara kontroversi


  • Hiburan
  • Khamis, 17 Okt 2024

P. Ramlee turut tidak terlepas daripada kontroversi terpalit dirinya satu ketika dahulu.

ALLAHYARHAM seniman Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh sememangnya satu nama tidak asing dalam industri perfileman tanah air.

Terkenal dengan karya agungnya seperti Seniman Bujang Lapok, Ibu Mertuaku dan Ali Baba Bujang Lapok, membuatkan pembikin filem tersohor itu kekal dikenang sepanjang zaman oleh masyarakat hari ini.

Sebagaimana yang pernah diungkapkan semasa hayatnya, "Walau aku sudah mati, aku akan hidup seribu tahun lagi", ungkapan itu seolah-oleh menjadi kenyataan apabila karya seniman agung tanah air itu masih dipertontonkan kepada umum walau sudah berzaman lamanya.

BACA LAGI: 50 tahun pemergian P. Ramlee, 3 fakta dan momen penting seniman agung negara

BACA LAGI: SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'

Namun, dalam pada kemasyhuran Allahyarham menerusi karya popular yang dihasilkan, beberapa buah tangannya sebelum ini turut terpalit kontroversi dan kurang mendapat sambutan atas faktor tertentu.

FB_IMG_1719840970578

1. Sitora Harimau Jadian (1964)

Filem Sitora Harimau Jadian yang diterbitkan pada November 1964 ini kurang mendapat tempat di hati penonton zaman dahulu.

Meskipun dibarisi pelakon ternama seperti Datuk Mahmud Jun, Rosmawati, Ali Rahman, Minah Hashim dan Fazliyaton, naskhah tersebut dikatakan gagal mendapat sambutan baik di panggung ekoran unsur tahyul yang keterlaluan.

Lebih menyedihkan, generasi hari ini tidak akan berpeluang menonton filem itu kerana ia difahamkan sudah pun musnah dan lenyap ekoran kaedah penyimpanan arkib tidak dilakukan dengan baik di bangunan Studio Merdeka yang kini digunakan sebagai pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Petaling Jaya, Selangor.

Pun begitu, sebuah syarikat penerbitan negara difahamkan telah menerbitkan buku yang diadaptasi daripada filem berkenaan sebagai satu inisiatif untuk meraikan sesuatu karya.

ZZZ-gelora-01

2. Gelora (1970)

P. Ramlee yang terkenal dengan perwatakan lucu dan peramah, turut tidak ketinggalan daripada terpalit isu kontroversi yang pernah menjejaskan karier seninya.

Hal itu berlaku menerusi filem arahannya yang berjudul Gelora ekoran beberapa babak 'panas' dan sentimen lucah dimainkan di mana ia dianggap tidak bersesuaian buat tontonan umum.

Mengisahkan pergolakan keluarga dan percintaan, P. Ramlee yang juga pengarah, pelakon serta penulis filem itu menerima kecaman hebat kerana menghasilkan filem sedemikian.

Malah, filem itu difahamkan turut 'digam' oleh beberapa stesen televisyen dan sehingga kini, karya seniman agung itu gagal diperoleh di mana-mana saluran.

sddefault

3. Melanchong Ka-Tokyo (1964)

Filem berkisarkan percintaan wanita tempatan dan pemandu pelancong warganegara Jepun ini merupakan penggambaran filem Melayu pertama dibuat di Jepun.

Jalan ceritanya yang dikatakan unik dan luar daripada kebiasaan mengangkat P. Ramlee sebagai pengarah tersohor pada era tersebut selain pelakon utamanya, Allahyarham seniwati Satya Baharom atau lebih dikenali sebagai Saadiah turut ditawarkan menjalani pengambaran di Hong Kong.

Sayangnya, kesemua salinan filem itu dilaporkan musnah akibat bencana banjir besar yang melanda studio Jalan Ampas, Singapura pada 1966. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram