SIAR: Nukil lebih 500 lirik lagu popular termasuk Gemuruh, seniman Loloq layak dilabel 'pengkarya muzik sepanjang zaman'


  • Hiburan
  • Selasa, 15 Okt 2024

Allahyarham Loloq merupakan penulis lirik terkenal industri muzik tanah air.

POPULARITI sesebuah lagu kebiasaannya dinilai daripada identiti penyanyi yang berperanan sebagai pelantun suara dan pengkarya di depan tabir.

Namun, di sebalik seni lontaran suara dilontarkan seorang penyanyi, tiada siapa mengenali susuk tubuh ataupun individu bertanggungjawab menghasilkan lirik dan muzik yang menjadi siulan ramai pendengar radio.

Antara penulis dan komposer terkenal yang meninggalkan pengaruh besar dalam industri muzik tanah air sebelum ini adalah Allahyarham Rosli Khamis atau lebih mesra digelar Loloq.

BACA LAGI: Legasi teater Ahmad Tarmimi Siregar, puasa sunat setiap Isnin, Khamis tip jaga kesihatan si 'Hero Emas'

BACA LAGI: Versi lebih 'nakal', lagu Herman Tino 'Mengapa Dikenang Mengapa Difikir' dapat sentuhan magis Monoloque

Generasi kini mungkin lebih sinonim dengan penampilan Loloq di kaca televisyen sebagai seorang pelakon namun, anak kelahiran Singapura ini sebenarnya memulakan karier seninya sebagai penulis lirik pada 1987.

Mula berkelana ke Kuala Lumpur pada usia 23 tahun, perjalanan seninya bermula apabila dipertemukan dengan 'sifu' M. Nasir dan Amy Search sekitar 1980-an sehingga ditawarkan tempat sebagai penulis lirik di syarikat Luncai Emas.

Siapa sangka, lebih 500 buah lirik lagu berjaya dihasilkan Loloq dengan hampir kesemua buah tangannya boleh dikatakan hit di carta radio.

Berikut merupakan antara lagu tulisan lirik Loloq yang pernah mencetuskan fenomena dan masih diminati ramai sehingga hari ini.

1. Gemuruh - Wings dan Search

Merupakan album duet kumpulan Search dan Wings, Loloq berjaya menyatukan kedua-dua kumpulan rock tanah air itu menerusi lagu Gemuruh (1992).

553 (1)

Wings dan Search berduet menerusi lagu Gemuruh

Gemuruh merupakan album duet kumpulan berpengaruh tanah air itu dan berjaya menempa kejayaan apabila terjual laris sebanyak 180,000 unit sekitar 1992.

Rentetan itu, album Double Trouble itu kemudiannya telah melayakkan mereka menerima anugerah platinum berkembar atas kejayaan jualan album berkenaan yang boleh dianggap antara catatan tertinggi di era tersebut.

2. Aduh Saliha - Mawi

Siapa sahaja yang tidak mengenali Mawi? Merupakan penyanyi berpengaruh dan popular satu ketika dahulu, individu berimej kepala botak itu sangat terkenal menerusi lontaran vokalnya yang cukup sempurna hasil didikan M. Nasir.

Lagunya, Aduh Saliha merupakan tulisan lirik daripada arwah Loloq yang ketika itu dikatakan turut meminati juara Akademi Fantasia musim ke-3 tersebut.

Bagaikan dirasuk gelombang 'tsumawi', Aduh Saliha berjaya melonjakkan namanya di pentas tertinggi negara apabila menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-20 bagi kategori Persembahan Terbaik dan Etnik Kreatif Terbaik pada 2006.

3. Aladin - Spider

Kumpulan rock tanah air, Spider boleh dikatakan antara 'produk' terbaik dan terlaris pernah dihasilkan syarikat keluaran Luncai Emas.

Digelar sebagai 'serangga genius' dari Johor, kejayaan Spider sedikit sebanyak turut disumbangkan oleh tulisan lirik Loloq dalam beberapa album mereka.

Aladin (2002) ditulis sepenuhnya oleh Loloq dengan muzik bergenre pop rock dan ska itu berjaya mendapat tempat di hato peminatnya sehingga kini.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan Aladin turut diberikan penganugerahan dalam industri negara apabila dinobatkan sebagai Album Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-10 dan Lagu Rock Pilihan (Anugerah Era 2002).

Beberapa lagi penyanyi dan kumpulan tersohor negara pernah menerima curahan idea dan lirik daripada Allahyarham yang dianggap pengkarya muzik sepanjang zaman penggiat muzik tanah air.

Kini, namanya kekal terpahat dalam sejarah muzik negara disamping tulisan lirik lagunya yang kekal malar segar dalam ingatan serta siulan ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram