Legasi teater Ahmad Tarmimi Siregar, puasa sunat setiap Isnin, Khamis tip jaga kesihatan si 'Hero Emas'


  • Hiburan
  • Ahad, 13 Okt 2024

Ahmad Tarmimi Siregar merupakan pelakon veteran popular tanah air.

GENERASI muda masa kini mungkin kurang mengenali nama Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, namun cukup sinonim bagi mana-mana individu lahir pada 1950-an.

Pun begitu, kejayaan ditempa anak jati Negeri Sembilan itu di peringkat antarabangsa cukup untuk membuatkan namanya menjadi sebutan golongan muda khususnya pendatang-pendatang baharu dalam industri.

Tarmimi, 74, mencapai zaman kemuncaknya apabila dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 menerusi filem Perjalanan Pertama yang merupakan arahan produksi Indonesia.

BACA LAGI: Versi lebih 'nakal', lagu Herman Tino 'Mengapa Dikenang Mengapa Difikir' dapat sentuhan magis Monoloque

BACA LAGI: [VIDEO] Dikecam kerap bagi 'kata mutiara', ramai cadang Man Raja Lawak jadi pakar motivasi, penceramah di sekolah

Melakonkan watak utama dalam filem tersebut, peranannya yang juga boleh dikatakan sebagai hero dalam naskhah itu secara tidak langsung mengangkat martabat negara dengan kejayaan ditempa pelakon tanah air itu.

Menganggap ia sebagai satu penghormatan tertinggi pernah dikecapinya, Tarmimi sebelum ini turut menggondol beberapa gelaran anugerah negara antaranya, Pelakon Pembantu Popular Berita Harian (1987), Personaliti Popular Anugerah Seri Angkasa (1995) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (2009).

tamimi_1691215997

Ahmad Tarmimi ketika dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023.

Dalam pada itu, bakat pelakon hebat ini pada mulanya dicungkil apabila menyertai uji bakat teater muzikal Uda dan Dara di Kuala Lumpur pada 1970.

Meskipun memegang jawatan sebagai kakitangan kerajaan ketika itu, sifat keberanian dan kegigihannya dalam mempelajari ilmu lakonan teater akhirnya membuahkan hasil apabila diserap sebagai pelakon tambahan dalam sebuah naskhah.

Sejak dari itu, karier seninya semakin berkembang dan mula melangkah masuk ke dalam industri perfileman tanah air menerusi filem pertamanya, Permintaan Terakhir (1975).

18888550_1051421118328333_7026377358781186048_n-e1608375917965

Ahmad Tarmimi Siregar banyak terlibat dalam produksi drama dan filem tempatan.

Selain filem dan drama, beliau juga terkenal dalam bidang pengarahan dan salah satu karyanya yang paling diingati adalah Ayahanda (2021), yang diadaptasi daripada novel Ayahanda.

Perkongsiannya di laman Facebook sebelum ini pernah mencetuskan perhatian apabila memuat naik hantaran video pertunjukan muzikal yang diarahkan oleh anak dan menantunya.

Seolah-olah memberi petunjuk bahawa bakat seninya mula diturunkan kepada keluarganya, persembahan itu dikatakan merupakan salah satu pementasan teater muzikal yang juga dilakonkan oleh cucunya.

Kini, beliau masih lagi bergiat aktif dalam industri tempatan dengan penampilannya di kaca televisyen tidak pernah lekang dan boleh dikatakan antara pilihan pengarah yang gemar memberikannya watak sebagai seorang bapa.

Walaupun sudah berusia, susuk tubuh dan fizikal pelakon berbakat itu tidak menggambarkan usianya yang tergolong dalam kalangan warga emas.

Menjadikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai idola, Tarmimi mengambil tip daripada pemimpin negara itu agar memastikan minda sentiasa ‘bekerja’ walaupun usia sudah lanjut.

Beliau juga selalu mengamalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis demi mendapat kebaikan terutama dari segi kesihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram