50 tahun pemergian P. Ramlee, 3 fakta dan momen penting seniman agung negara


  • Hiburan
  • Isnin, 29 Mei 2023

P. Ramlee mendapat gelaran Seniman Agung Negara kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan tempatan.

TANGGAL 29 Mei 2023, genap 50 tahun pemergian seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggalkan legasi seni yang akan tetap dikenang sepanjang zaman.

Buat yang merindui seniman agung tanah air itu, mari kita imbau kembali beberapa fakta dan momen menarik tentang pelantun lagu Getaran Jiwa, Anak-ku Sazali, Azizah dan banyak lagi.

Nama sebenar

P.Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh antara seniman Melayu yang tampil menggunakan nama pentas sebagai pengenalan dalam dunia seni.

Bagaimanapun mungkin tidak ramai yang tahu akan fakta tersebut. Pada hari pengebumian, hanya sewaktu talkin dibaca, itulah buat kali pertama masyarakat mengetahui bahawa nama sebenar P.Ramlee ialah Teuku Zakaria.

Apa yang lebih menarik talkin itu telah dibacakan oleh Allahyarham Mohamad Rajoli Mohamed Zain atau lebih dikenali dengan nama M.Rajoli yang pada ketika itu berusia 28 tahun dan sedang berkhidmat sebagai salah seorang Imam besar di Masjid Jamek, Kampung Baru.

P.Ramlee mendirikan rumah tangga dengan Biduanita Negara, Saloma pada tahun 1961

50 tahun pemergianmu

Pada pagi Selasa, 29 Mei 1973, berita kematian anak kelahiran Pulau Pinang itu dengan pantas tersebar menerusi corong-corong radio.

Ramai yang tidak percaya apabila menerima berita pemergian beliau pagi itu, malah rakan-rakan seperjuangannya masing-masing kebingungan dan bertanya sesama sendiri sama ada berita itu nyata atau hanya sebuah naratif dalam filem arahan beliau.

Pemergian P.Ramlee diratapi oleh masyarakat dan peminat-peminatnya dari seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei.

Malah pada pagi yang hening itu ada orang yang sanggup terjun melalui tingkap ataupun jendela, semata-mata ingin memberi tahu rakan-rakan bahawa P.Ramlee sudah meninggal dunia.

Bukan rumah itu tidak ada pintu, tetapi oleh kerana seluruh perasaan diselebungi kesedihan sehingga tingkap atau jendela terbuka luas itu disangka pintu. Begitulah betapa besarnya pengaruh P.Ramlee kepada masyarakat pada ketika itu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek, Kampung Baru untuk dimandi dan dikafan serta disembahyangkan selepas waktu Zohor.

Hampir 200 buah kereta mengiringi jenazahnya yang turut diketuai oleh anggota polis bermotor. Apabila tiba di masjid beribu-ribu masyarakat sudah menanti jenazah P. Ramlee untuk bersama-sama menyertai solat jenazah.

Kira-kira jam 5 petang jenazah tiba di tanah perkuburan Islam, Jalan Ampang. Tanah perkuburan juga sudah menjadi lautan manusia menyambut jenazah seniman agung itu.

Semua yang hadir di tanah perkuburan tetap setia berdiri dan menanti walaupun hujan renyai mengiringi jenazah. Orang ramai berasak-asak dan tolak menolak mahu ke hadapan mendekati liang lahat sehinggakan tempat meletakkan jenazah sudah tidak kelihatan. Pihak Polis juga terpaksa mengawal keadaan bagi melancarkan urusan pengkebumian.

Sepanjang hayatnya, beliau telah berlakon dalam 66 filem dengan 35 daripadanya merupakan karya arahannya.

Malam terakhir P.Ramlee

Jika diimbau kembali, Bekas Ketua Pengarang Kumpulan (Majalah) Utusan Melayu, Osman Abadi atau nama sebenarnya Osman Mahmud Baginda ialah antara individu yang terawal mendapat perkhabaran duka pemergian Allahyarham.

Menerusi catatan yang pernah dikongsikan, Osman ada menceritakan tentang momen-momen terakhirnya berbual dengan P. Ramlee, sebelum mendapat dimaklumkan tentang perkara tersebut.

Sekitar pukul 9 malam, P. Ramlee duduk termenung di satu sudut di rumahnya sambil memetik bibir meja seolah-olah berfikir sesuatu. Tiba-tiba beliau bangun terus menuju ke telefon lalu mendail nombor telefon seseorang.

"Boleh kita jumpa malam ini di Shah Motel, kerana saya ingin berbincang dengan saudara mengenai skrip filem Azizah yang saudara tulis itu," katanya.

Disebabkan ada perkara yang lebih penting, individu itu tidak dapat bertemu P. Ramlee pada malam itu dan meminta untuk bertemu dengan P. Ramlee pada keesokan harinya dan P. Ramlee juga bersetuju. Sebelum mengakhiri perbualan sempat P. Ramlee menyanyikan lagu Azizah buat temannya itu.

Azizah merupakan lagu pertama yang dicipta oleh P. Ramlee sejak tinggal di Pulau Pinang. Lagu itu sangat dekat dengan sejarah hidup P. Ramlee, maka dengan itu beliau bercadang untuk meriwayatkan lagu Azizah di layar perak.

P. Ramlee bukan sahaja terkenal di Malaysia dan Singapura, malah namanya turut disebut-sebut di Indonesia dan Brunei.

Pada waktu subuh dalam jam 5.30 pagi, sekali lagi telefon rumah teman P. Ramlee berdering. Kali ini bukan panggilan daripada P. Ramlee tetapi Saloma yang memaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia.

"Encik Osman, abang Ramlee sudah tiada!" katanya.

Apabila mendengar sahaja perkhabaran itu, beliau terus jadi bingung seolah-olah tidak percaya kerana malam semalam baharu beliau bercakap dengan P. Ramlee melalui telefon.

Osman pernah terlibat dalam dua buah filem arahan P. Ramlee sebelum ini iaitu Gelora dan Putus Sudah Kaseh Sayang sebagai penulis cerita dan skrip. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram