DAHULUNYA lebih dikenali dengan watak remaja sekolah, pelakon otai Hanis Kamal Bakar, 35, enggan terus dibayangi identiti tersebut.
Jelasnya, sejak mula berkecimpung dalam dunia seni tanah air pada 1995, kebanyakan watak diterimanya adalah pelajar sekolah dan remaja yang dianggap sudah tidak relevan dengan usianya sekarang.
Tidak menolak rezeki mahupun 'cuci tangan' daripada dunia lakonan, Kamal walau bagaimanapun berharap agar pengarah serta syarikat produksi di luar sana memberikan kepercayaan padanya untuk membawakan watak sebagai seorang dewasa.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bila lagi giliran saya?', bintang filem Man Laksa kini cef terkenal di New Zealand
"Saya bukan nak menolak rezeki tapi kalau semua tawaran diterima kena bawa watak budak sekolah, remaja belasan tahun terpaksa la saya ketepikan dahulu.
"Sampai bila saya asyik diberi watak budak sekolah je, dah tak relevan dah dengan usia dan identiti saya sekarang, tak tahu kenapa watak budak sekolah tu melekat sampai sekarang.
"Saya nak keluar dari kepompong budak sekolah, dah tiba masanya saya mainkan watak dewasa, kalau jadi bapa orang sekali pun logik juga sebab saya memang ada anak," katanya kepada Majoriti.
Kamal (dua dari kanan) ketika membintangi filem Gila-Gila Remaja 2 pada 2013.
Dalam pada itu, pelakon filem Gila-Gila Remaja 2 (2013) berkenaan kini lebih mengutamakan perniagaan yang dijalankan bersama isterinya.
Meskipun karier lakonannya semakin berkurang dan jarang muncul di kaca televisyen, Kamal mahu terus mengembangkan rangkaian produk 'detox' dan jamu wanita dimilikinya.
"Al hamdulillah setakat ini produk saya semakin mendapat tempat di hati pengguna khususnya para wanita di luar sana.
"Syukur dengan sedikit kelebihan yang saya ada sebagai pelakon, boleh la jalankan perniagaan sebab orang masih kenal saya, tapi saya banyak bantu isteri sebenarnya sebab semua produk dia punya.
"Setakat ini, empat orang berjaya hamil asbab daripada pengambilan produk jamu saya, syukur dapat bantu orang yang dah lama menanti, jadi setakat ini memang saya fokus bisnes berbanding lakonan, selebihnya serahkan pada rezeki," tambahnya.
Untuk rekod, pelakon itu sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik sebanyak tiga kali pada Anugerah Seri Angkasa 2006, 2010 serta Anugerah Tribut P. Ramlee (2013).
Sentiasa terbuka untuk kembali mewarnai industri hiburan tempatan, Kamal berhasrat mahu melakonkan pelbagai watak antagonis jika diberikan peluang satu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram