Versi lebih 'nakal', lagu Herman Tino 'Mengapa Dikenang Mengapa Difikir' dapat sentuhan magis Monoloque


  • Hiburan
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Herman Tino merupakan antara penyanyi muzik Nusantara terkenal pada era 1980-an.

TERKENAL dengan muzik asli Nusantara, penyanyi veteran Herman Tino, 70, atau nama sebenarnya, Masrun Tamsi kini masih meneruskan legasi seninya menerusi karya agung tercipta pada era 1980-an.

Masih bergiat aktif menyanyi dan menerima undangan persembahan, nama Herman Tino kembali meniti di bibir peminat apabila bergandingan dengan kumpulan muzik rock, Monoloque baru-baru ini.

Kisahnya bermula apabila penyanyi veteran tanah air itu dipelawa oleh vokalisnya, Loque yang berhajat untuk memberi nafas baharu pada lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir yang pernah popular satu ketika dahulu.

BACA LAGI: [VIDEO] Dikecam kerap bagi 'kata mutiara', ramai cadang Man Raja Lawak jadi pakar motivasi, penceramah di sekolah

BACA LAGI: 'Jangan anak tirikan mereka', Michael Ang desak pemenang emas Paralimpik dapat habuan sama rata

Atas dasar tanggungjawab dan pemegang amanah bakat yang dianugerahkan oleh tuhan, Herman menyatakan persetujuannya untuk bergandingan dengan penyanyi berimej 'tengkolok' itu.

"Astaghfirullah, saya tertanya-tanya bolehkah lagu sedemikian dinikmati orang terdahulu dan pendengar sekarang, jahat betul bunyinya," jelas Herman ketika pertama kali mendengar lagu yang diberi nafas baharu itu.

photo_2024-09-26_14-13-46

Herman Tino (tengah) ketika membuat rakaman muzik bersama Monoloque (berdiri dua kanan).

Katanya, sentuhan muzik rock, petikan gitar serta melodi keras disuaikan dalam lagu Nusantara itu sedikit berbeza dan memerlukan lontaran suara yang agak tinggi daripada versi asalnya.

Tidak menolak sebarang perubahan pada lagu ciptaan Datuk Hashim Said atau lebih dikenali sebagai S. Atan itu, Herman menganggap ia sebagai penerus legasi yang perlu disampaikan menerusi lagu tersebut.

"Muzik ini ibarat satu legasi, walaupun sudah beribu tahun lamanya, ia masih membawa erti dan teladan sama melalui seni kata serta liriknya.

"Lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir antara yang paling mendalam dan dekat di hati pendengar, berkisarkan percintaan dan kehidupan insan di muka bumi, ia mengajar masyarakat supaya jangan menoleh ke belakang, sebaliknya terus melangkah demi kehidupan yang lebih baik.

"Dalam dunia ini ada lelaki yang jahat dan ada yang baik, begitu juga dengan perempuan, jadi dalam percintaan semua berhak untuk dapat yang terbaik, jangan dikenang yang tiada, sebaliknya yakin dengan ketentuan ALLAH," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, penyanyi yang juga pelakon muzik video Awan Nano nyanyian Hafiz Suip itu berkata, dia sangat berterima kasih kepada Monoloque kerana memberi peluang buatnya meneruskan karya seninya.

Menggelar kumpulan itu sebagai 'budak nakal', Herman meluahkan rasa bangganya atas bakat dan sifat kecintaan pemuzik kini yang dikatakan sangat teguh serta bersemangat dalam memperjuangkan seni tanah air.

"Saya bangga bila ada pemuzik yang macam mereka, bijak dan kreatif dalam penghasilan muzik.

"Tidak menolak dan tidak meminta-minta, jika diberikan darjat dan bakat oleh Tuhan, saya akan terus berkarya dengan sesiapa pun baik muda atau tua.

"Tidak salah untuk berhibur kerana manusia perlukan hiburan dan dihiburkan, sama juga seperti pemuzik, ia memang sifat semula jadi," tambahnya.

Terdahulu, Herman Tino merupakan seorang seniman yang disifatkan mempunyai pola pemikiran yang cukup berbeza daripada penyanyi lain.

Di awal penglibatan beliau dalam bidang seni, anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu telah memilih untuk mengetengahkan identiti Nusantara dalam semua karyanya.

Meskipun era 1980-an lebih terkenal dengan muzik bergenre pop dan rock, namun keunikan ditampilkan penyanyi itu berhasil apabila nyanyiannya menjadi ikutan sebilangan peminat pada ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram