[VIDEO] 'Bila lagi giliran saya?', bintang filem Man Laksa kini cef terkenal di New Zealand


  • Hiburan
  • Khamis, 03 Okt 2024

Hamdan Taha kini bergelar seorang cef di sebuah syarikat katering terkemuka di New Zealand.

"BILA lagi giliran saya?" Demikian dialog popular dilontarkan pelakon Hamdan Ahmad Taha, 61, dalam satu babak lucu filem Man Laksa (2006) satu ketika dahulu.

Merupakan sebuah naskhah agung karya Allahyarham Mamat Khalid, filem lucu berlatar belakangkan era 60-an itu cukup diminati dan dikenangi penonton sehingga ke hari ini.

Dimainkan beberapa pelakon veteran terkenal tanah air, watak ikonik lakonan Hamdan antara yang malar segar dalam ingatan penonton ekoran dialog serta identitinya dalam filem itu disifatkan sangat bersahaja, malah menghiburkan segenap lapisan masyarakat negara.

BACA LAGI: Versi lebih 'nakal', lagu Herman Tino 'Mengapa Dikenang Mengapa Difikir' dapat sentuhan magis Monoloque

BACA LAGI: ‘Ramai follower tapi berlakon kayu’, Raja Azrey mahu pastikan muka tak hensem boleh jadi hero

Namun, siapa sangka anak jati kelahiran Ipoh, Perak itu kini sudah berhijrah ke New Zealand selepas kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem tersebut.

Menganggap negara Kiwi itu sebagai rumah keduanya, Hamdan seisi keluarga mula berkelana ke sana sejak 2008 dan kini menjadi penduduk tetap di New Zealand sebagai seorang cef.

@wanpiece_channel Di hadapan kita ada banyak kejutan yang mungkin kita tak tau...ayuh teruskan perjalanan#manlaksa ♬ original sound - wanpiece channel Ceo of SKC

Memulakan karier awalnya di Malaysia sebagai pemuzik kumpulan rock, Hamdan kemudiannya beralih ke bidang penganjuran acara dan banyak terlibat dalam program kesenian serta hiburan tanah air satu ketika dahulu.

Bersahabat baik dengan Mamat Khalid sejak di peringkat sekolah menengah, kemunculannya dalam Man Laksa dikatakan terjadi secara spontan dan tidak dirancang.

"Saya berlakon dalam filem itu tanpa sebarang latihan ataupun ujibakat, arwah Mamat Khalid panggil saya berlakon, bagi arahan dan terus buat.

"Skrip ke dialog semua dia tak bagi, saya cuma diberitahu untuk menyanyi atas pentas dan adegan buka baju itu semua dia yang suruh, saya ikutkan sahaja.

"Siapa sangka ia jadi lawak dan penonton boleh terhibur dengan lakonan spontan saya, arwah Mamat Khalid memang istimewa, daripada kosong, dia boleh bawa karakter seseorang itu sampai 'menjadi' dalam lakonan," katanya kepada Majoriti.

83847132_2960035707395843_7115208741435211776_n

Hamdan (kanan baris atas) merupakan bekas pemuzik kumpulan rock Ikrar era 1989.

Dalam pada itu, Hamdan turut mendedahkan bahawa filem berkenaan diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku di Ipoh, Perak sekitar era 60-an.

Jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu, idea asal filem Man Laksa merupakan kisah nostalgia ketika penganjuran sebuah temasya di Ipoh yang dikatakan serba kekurangan dari segenap sudut.

"Temasya itu diadakan tanpa sebarang penaja mahupun sumber kewangan yang kukuh, jadi bayangkan la memang hiruk pikuk dibuatnya bila tiada bajet yang cukup.

"Boleh kata hampir separuh daripada filem itu adalah kisah benar tetapi, ada juga la yang ditambah untuk menjadikan ia lebih menarik ditonton di wayang.

"Tapi pemikiran kreatif dan bijak arwah Mamat memang tak terjangka, segala idea tercetus daripadanya dan kalau anda masih ingat watak arwah Pak Jabit, dia asalnya merupakan seorang wartawan bukannya pelakon pun," tambahnya.

6330201914045743587

Hamdan (tengah) berkhidmat sebagai seorang cef sejak 2008 di Auckland.

Menganggap ia antara kenangan manis sepanjang bergelar pelakon di bawah arahan sahabatnya, Hamdan kini lebih menumpukan kariernya sebagai seorang cef di salah sebuah syarikat katering halal terkemuka di Auckland, New Zealand.

Meskipun sudah lama tidak pulang ke tanah air tercinta, Hamdan banyak mengadakan program kesenian berkonsepkan Malaysia melalui penglibatan bersama universiti dan sekolah di Auckland.

Seni pembuatan wau antara yang diketengahkan dalam setiap program anjurannya dengan harapan agar penduduk di sana mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang sarat dengan keunikan seni.

Akui rindu untuk kembali berdialog menerusi skrin layar perak, Hamdan menjelaskan dirinya masih menerima beberapa tawaran lakonan namun terpaksa menolak atas faktor komitmen kerja di sana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram