'Terpulang pilih cara halal atau haram', Kidd Santhe hati kering, tak masuk akal sokong 'Polis Evo' tapi gam 'Penjenayah'


  • Hiburan
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Kidd Santhe melancarkan lagu baharu berjudul Penjenayah.

PENYANYI hip hop popular negara, Kidd Santhe, 28, atau nama sebenarnya, Parssanth Navaratnam berkongsi realiti kehidupan masyarakat Malaysia menerusi buah tangan terbaharunya berjudul Penjenayah.

Baru sahaja melancarkan lagu tersebut kira-kira seminggu lalu, Kidd walau bagaimanapun menafikan dakwaan segelintir masyarakat yang mempertikaikan lirik lagu tersebut.

Dianggap sebagai naskhah yang mengagungkan budaya menjual barangan terlarang dadah, Kidd tegas menafikan perkara itu dan menjelaskan, ia hanya sekadar seni yang dicurahkan pada sebuah lagu.

unnamed-6-1

Kidd Santhe enggan lagunya yang berjudul Penjenayah, disalah erti masyarakat.

Katanya, lagu Penjenayah berkisahkan realiti kehidupan masyarakat negara yang sebahagiannya tersesat dan keliru dalam membuat pilihan hidup.

"Ada pelbagai cara nak buat duit zaman sekarang, cuma ia terpulang pada kita untuk pilih cara halal atau haram, jika tersalah langkah maka ia boleh memakan diri.

"Ini realiti sebenar, ramai yang terdesak akan pilih jalan hitam dan dadah merupakan salah satu daripadanya, saya tidak mengatakan yang ia bagus tetapi, lebih kepada peringatan sinis kepada masyarakat.

"Sentiasa ada cara terbaik untuk selesaikan isu kewangan tetapi dalam lagu ini, saya fokuskan kepada jenayah dadah yang banyak menjatuhkan negara dan individu ramai," katanya kepada Majoriti.

'Kita bawak ombak dari JKT,

Sampai MY sudah habis cuci,

24/7 sampai aku mati,

Kita buat barang ni,

Macam hari jadi'

Demikian antara lirik korus yang menurut penyanyi itu, agak sarat dengan segala pengertian yang mungkin disalah erti pendengar.

Jelasnya, pengaruh ataupun kegiatan sindiket dadah yang banyak diseludup dari negara jiran, Indonesia sudah banyak kali berlaku dan perlu dijadikan iktibar.

"JKT itu bermaksud Jakarta, Indonesia, jadi saya cuba terangkan yang sindiket dadah dari negara seberang misalnya menjadi kegiatan individu yang tersepit dalam kehidupan.

"Maka, ia tak sepatutnya berlaku, kita ada banyak pilihan lain yang lebih baik, daripada buat macam itu sudahnya dipenjarakan pihak polis.

"Bahkan, di akhir muzik video saya pun ada tunjuk yang saya dipenjarakan, itu yang saya cuba sampaikan dalam lagu Penjenayah, bukan sisi negatif," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia bersedia sekiranya lagu Penjenayah digam, begini respons Kidd Santhe.

"Sentiasa ada kebebasan untuk mencipta seni. Video muzik Penjenayah berkongsi gaya hidup dan akibat daripada membuat pilihan tersebut.

"Liriknya tidak mempunyai sebarang kata-kata kotor sama sekali manakala video memaparkan beberapa imej grafik, sama seperti siri TV atau filem.

"Saya sentiasa menyokong dan disokong oleh stesen radio. Walau bagaimanapun, jika TV tidak mahu menyokong Penjenayah, maka TV seharusnya tidak boleh menyokong filem tempatan dan antarabangsa berdasarkan berat sebelah itu.

"Tidak masuk akal untuk menyiarkan Polis Evo tetapi tidak menyokong Penjenayah. Kedua-duanya adalah seni dan hiburan. Itulah tugas saya sebagai seorang artis, mengaitkan, menghiburkan dan berkongsi cerita saya melalui seni saya," tegasnya.

Kidd merupakan penyanyi hip hop berbangsa India yang berbakat besar dalam industri muzik tanah air.

Gandingannya bersama barisan penyanyi rap tempatan seperti Saixse dan Atta Halilintar menerusi lagu Mantap Cuy mendapat tempat di hati pendengar apabila memperoleh 1.3 juta tontonan sejak dilancarkan pada Mei lalu, selain lagu ciptaannya bersama Syamel, Kau Pun Sama pernah muncul finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram