Impian jadi model tercapai, nenek 81 tahun sertai Miss Universe Korea Selatan


  • Hiburan
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Choi Soon-hwa menjadi peserta tertua yang menyertai Miss Universe Korea Selatan 2024.

SEORANG warga emas mencetuskan fenomena di laman sosial apabila menjadi peserta tertua yang menyertai pertandingan Miss Universe Korea Selatan baru-baru ini.

Choi Soon-hwa, 81, mengambil masa lebih lima dekad untuk mencapai impiannya bergelar seorang model selepas pihak penganjuran membatalkan syarat usia penyertaan.

"Selepas mendengar bahawa tiada sekatan umur dikenakan, saya fikir ia satu peluang yang sangat bagus buat saya. Saya tidak boleh melepaskan peluang ini.

"Saya mahu semua orang mengenali saya dan sedar bahawa kegembiraan hanya mampu dicapai apabila kita mencabar diri untuk menggenggam impian," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bila lagi giliran saya?', bintang filem Man Laksa kini cef terkenal di New Zealand

BACA LAGI: Versi lebih 'nakal', lagu Herman Tino 'Mengapa Dikenang Mengapa Difikir' dapat sentuhan magis Monoloque

Choi Soon-hwa memenangi anugerah 'Pakaian Terbaik' pada penyertaannya dalam Miss Universe Korea Selatan.

Kejayaannya melangkah ke peringkat akhir dianggap satu pencapaian yang sangat membanggakan selain turut dinobatkan Anugerah Pakaian Terbaik menewaskan beberapa lagi pesaing lain yang jauh lebih muda.

Dalam pada itu, zaman remajanya terpaksa dikorbankan demi memenuhi komitmen kewangan dan menampung keperluan keluarganya.

Merupakan bekas jururawat hospital, ilham untuk terus bergelar model tercetus apabila salah seorang pesakitnya mencadangkan dia menghantar permohonan menjadi model veteran.

Choi kemudiannya mendaftar keahlian di sebuah pusat akademi peragaan Korea Selatan dan bermula detik itu, kehidupannya berubah apabila banyak muncul dalam pertunjukan fesyen.

Berkongsi petua mengekalkan kecantikan dan tubuh badan sihat, Choi sentiasa memulakan harinya dengan sarapan sihat iaitu telur rebus dan buah-buahan selain kerap berekreasi di kawasan taman.

"Korea Selatan berpotensi untuk menjadi 'negara tua' menjelang tahun depan apabila lebih satu perlima penduduknya kini berusia lebih 65 tahun.

"Saya harap warga emas lain ada keberanian yang sama dan mengambil semangat daripada pengalaman saya," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram