WATAK baik dan jahat memainkan peranan penting dalam sesebuah karya filem dengan ia mampu mempengaruhi jumlah penonton hadir ke panggung wayang.
Malah, barisan pelakon yang dipilih membawakan kedua-dua watak itu, turut menjadi keutamaan dalam sesebuah plot penceritaan.
Dalam pada tumpuan penonton yang sering kali terarah kepada watak hero, peranan antagonis juga membawa pengaruh besar terhadap imej sesebuah filem yang sangat memerlukan individu berbakat untuk dilakonkan di layar perak.
BACA LAGI: SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'
Arena panggung hitam putih negara satu ketika dahulu cukup sinonim dengan watak antagonis lakonan Allahyarham A. Rahim yang dilabel sebagai 'penjahat' nombor satu tanah air.
A. Rahim banyak melakonkan watak antagonis dalam pembabitannya di dunia layar perak.
Berbadan tegap dan muka bengis persis penjahat di dunia nyata, identitinya dalam dunia lakonan cukup diminati ramai ekoran bakat semula jadinya yang dikatakan sangat sepadan dengan peranan antagonis.
Merupakan anak jati kelahiran Kuala Kangsar, Perak, A. Rahim atau nama sebenarnya Abdul Rahim Abu kemudiannya dibawa ibu bapanya ke Singapura dan mendapat pendidikan di sana.
Memulakan karier lakonannya dalam filem Penghidupan pada 1950, arwah kemudiannya dipertemukan dengan seniman negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi karya arahan B.S Rajhans iaitu Sejoli (1951).
Bermula sebagai pelakon tambahan, A. Rahim kemudiannya ditawarkan watak utama dalam filem Rayuan Sukma (1951) sebagai penjahat.
Sejak itu, namanya semakin dikenali di layar perak dan banyak menerima tawaran dari syarikat produksi terutamanya Malay Film Production (MFP) yang banyak memberikan watak antagonis kepadanya.
Kerjaya lakonannya semakin memuncak apabila bergandingan bersama P. Ramlee menerusi Panggilan Pulau (1954) di mana beliau berperanan sebagai seteru utama kepada seniman negara tersebut.
Selain itu, Semerah Padi (1956) turut menyaksikan kehebatan A. Rahim di pentas layar perak apabila membawakan watak sebagai penzina isteri orang yang akhirnya dijatuhkan hukuman sula di depan khalayak ramai.
Beberapa lagi filem lain yang dibintangi A. Rahim sebagai watak jahat adalah Hati Iblis (1953), Jubah Hitam (1955), Jiwa Lara (1952), Lupa Daratan (1952) dan Sedarah (1952).
A. Rahim (tiga dari kiri) dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
Meskipun cukup dikenali dengan watak antagonis, beliau juga pernah diberikan peranan baik dalam beberapa filem antaranya Isi Neraka (1960), Ibu Mertua-ku (1962) dan Anak Buluh Betong (1966).
Paling diingati pastinya watak penyamun berketurunan Jepun, Momotaro-san yang dilakonkan dalam Ali Baba Bujang Lapok (1961).
Turut bergelar sebagai seorang pengarah tempatan, filem Sesejuk Air Mata Ibu (1981) merupakan karya pertama dan terakhir arahannya apabila menghembuskan nafas terakhir pada 1992 akibat serangan sakit jantung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram