SIAR: Selain Awie-Erra Fazira, ada 2 pasangan romantis layar retro masih jadi referensi ketika bercinta


  • Hiburan
  • Selasa, 08 Okt 2024

Awie dan Erra Fazira merupakan gandingan pelakon hebat tanah air satu ketika dahulu.

KEKUATAN sesebuah naskhah filem kebiasaannya dinilai dari barisan pelakon yang membawakan watak utama terutamanya hero dan heroin.

Dianggap sebagai nadi utama dalam sesebuah karya, penonton lazimnya akan berkunjung ke panggung wayang untuk menonton lakonan artis kegemaran yang sekali gus menyumbang kepada reputasi dan publisiti filem tersebut.

Elemen romantis dan percintaan menjadi taruhan pengarah dalam pemilihan pelakon utama dengan ia mampu mencetuskan fenomena jangka masa panjang jika bersesuaian dengan kehendak penonton.

BACA LAGI: SIAR: 'Encik.. sound dia rosak, Tipah tertipu bang', baris dialog filem retro kekal malar segar sampai 2024

BACA LAGI: SIAR: Dilabel ‘Sarjan Misai’, bakat A. Galak mula dicungkil dalam filem Nujum Pak Belalang, Ali Baba Bujang Lapok

Buktinya, beberapa karya era 1980-an satu ketika dahulu masih ditonton sehingga ke hari ini ekoran babak romantis dimainkan pelakon utamanya, cukup memberikan kesan kepada penonton.

Majoriti mengimbau kembali beberapa pasangan 'Romeo dan Juliet' tempatan yang pernah menggegar arena panggung negara.

Ogy Ahmad Daud & Azmil Mustapha

Filem ikonik Ali Setan (1985) kekal mendapat tempat di hati penonton meskipun sudah berdekad lamanya.

Mempertaruhkan gandingan pelakon hebat Ogy Ahmad Daud dan Allahyarham Azmil Mustapha, filem romantik komedi arahan pengarah terkenal, Allahyarham Jins Shamsuddin itu mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat negara yang amat meminati lakonan kedua-duanya.

Seolah-olah pasangan bercinta mahupun di luar set penggambaran, pengaruh watak nakal lakonan Azmil Mustapha sememangnya antara yang digilai ramai wanita satu ketika dahulu.

Ketika filem ini ditayangkan, Ogy sudah dikenali sebagai seorang penyanyi manakala Azmil pula masih bergelar pelakon baharu.

Namun, keserasian kedua-dua pelakon hebat itu dalam filem tersebut membuatkan penonton cukup terhibur dan kian menjadi tontonan generasi muda masa kini.

Awie & Erra Fazira

Bukan sahaja berbakat dalam nyanyian, malah pentas lakonan turut menyaksikan kehebatan dua insan tanah air ini yang sememangnya disegani di layar perak.

Kehangatan percintaan Awie dan Erra Fazira dalam filem Sembilu arahan Yusof Haslam cukup menyentuh perasaan penonton yang nyata tersentuh dengan lakonan mantap dipamerkan.

Keserasian itu berjaya melonjakkan filem tersebut yang mencatat sejarah dengan catatan kutipan pecah panggung sebanyak RM4.39 juta pada 1994.

Shah Rezza & Liza Abdullah

Meskipun tidak sehebat filem Sembilu dan Ali Setan, namun gandingan Shah Rezza dan Liza Abdullah menerusi Marah-Marah Sayang (1987) antara yang mencuit hati dan meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

Merupakan filem romantik komedi arahan Johari Ibrahim, kedua-dua pelakon itu dikatakan sangat romantis dari segi pergaulan dan pertuturan hingga segelintir pihak turut mengaitkan kisah percintaan mereka di luar penggambaran.

Syah Rezza yang juga dilabel antara hero Malaya popular satu ketika dahulu, cukup diminati ramai gadis ekoran gaya dan identitinya yang dikatakan peramah dan mesra bersama peminat.

Malah, segelintir peminatnya menganggap pelakon veteran itu cukup memukau dan tidak tua ditelan zaman ekoran keterampilannya yang dikatakan masih kacak meskipun dimamah usia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram