KERJAYA sebagai penyampai radio semakin meriah dengan kehadiran individu berbakat dari pelbagai latar belakang bidang.
Pelawak, penyanyi dan pempengaruh misalnya mampu terjun ke dalam bidang tersebut berbekalkan bakat dan minat yang mendalam terhadap pengacaraan radio.
Namun, kebelakangan ini timbul pertikaian warganet terhadap kualiti dan pengetahuan penyampai radio masa kini yang dikatakan kurang sempurna dari segi penyampaian dan bahasa pertuturan digunakan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bila lagi giliran saya?', bintang filem Man Laksa kini cef terkenal di New Zealand
Mengulas lanjut hal itu, penyampai radio veteran, Isma Halil, 51, menganggap industri radio negara kian mundur dan hanya mementingkan populariti berbanding kualiti.
Isma Halil merupakan pengasas stesen radio Bapakku FM.
"Penyampai DJ zaman sekarang dan dahulu jauh berbeza, kalau dulu semuanya dijalankan secara langsung dan tiada rakaman ataupun penyuntingan dilakukan di konti radio.
"Sekarang mana ada panggilan 'live', yang ada semuanya direkod terlebih dahulu kemudian baru dimainkan semula, semuanya dimasukkan dalam sistem dan 'diformatkan' mengikut kehendak sendiri, di situ kita boleh nilai kualiti dan pengetahuan seseorang penyampai yang mampu berbual sahaja.
"Bahasa pertuturan digunakan pun ada kalanya tidak sopan, semua benda nak dijadikan bahan lucu, kelakar sampai penyampai pun hilang nilai adab dalam percakapan sedangkan pendengar dari pelbagai usia dan lapisan masyarakat," katanya kepada Majoriti.
Enggan situasi itu berterusan, Isma bakal mengadakan kursus penyampai radio khas buat individu yang benar-benar berminat menceburi bidang kerjaya tersebut.
Jelasnya, bakat dan kualiti sebagai penyampai radio bukan boleh dipelajari dalam masa singkat, tetapi ia perlu dilatih dengan ilmu yang mampu membuatkan seseorang itu bertahan lama dalam industri.
Merancang untuk menjalankan kursus secara bulanan di konti radionya dekat Gombak, Selangor, Isma ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dimiliki demi kebaikan ramai pihak.
"Saya tak pernah anggap pendengar saya sebagai peminat, tetapi mereka semua kawan dan sahabat saya jadi tak salah kalau kita saling berkongsi ilmu.
"Bukan senang sebenarnya nak jadi DJ, sesiapa pun boleh duduk di konti dan bercakap tapi sebenarnya untuk mengekalkan disiplin itu sangat susah.
"Nada suara digunakan, pengetahuan ketika di konti semuanya perlu diperlajari, bukan main cakap dan berbual kosong sahaja yang tiada nilai pada pendengar. Saya tak rela 'dimesinkan' dalam sistem yang tidak menggunakan hati ketika bertugas di konti," tambahnya.
Meskipun penglibatannya dalam dunia arus perdana semakin berkurangan, Isma aktif sebagai penyampai di radio digitalnya, Bapakku FM dan kerap mengadakan aktiviti bersama pendengar-pendengarnya.
Sebelum ini, Isma yang terpalit kontroversi dadah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram pada 2021.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
Beliau menerima keterangan Isma bahawa bilik di rumah sewanya di mana beg mengandungi dadah itu ditemui, boleh diakses oleh penyampai radio lain, kru, pengurusan kedai dan tetamu stesen radio Bapakku FM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram