LEGASI seni tinggalan Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh kekal dikenang sepanjang zaman oleh masyarakat hari ini.
Sebagaimana yang pernah diungkapkan beliau semasa hayatnya, "Walau aku sudah mati, aku akan hidup seribu tahun lagi", ungkapan itu seolah-oleh menjadi kenyataan apabila karya seniman agung tanah air itu masih dipertontonkan kepada umum walau sudah berzaman lamanya.
Merupakan antara legenda tanah air terulung di rantau Asia satu ketika dahulu, anak kelahiran Pulau Pinang itu cukup sinonim dengan pelbagai watak dalam lakonannya sebagai Sazali, Sarjan Hassan, Hang Tuah dan Kassim Selamat.
BACA LAGI: 50 tahun pemergian P. Ramlee, 3 fakta dan momen penting seniman agung negara
BACA LAGI: SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'
Kejayaannya dalam dunia seni melonjakkan kariernya sehingga huruf P pada pangkal namanya digelar sebagai 'pujaan' oleh peminatnya satu ketika dahulu, meskipun ada yang memberitahu huruf itu sebenarnya merupakan pangkal nama bapa P. Ramlee iaitu Puteh.
Sepanjang hayatnya, beliau telah berlakon dalam 66 filem dengan 35 daripadanya merupakan karya arahannya.
Unik dalam mengolah sesebuah plot penceritaan, Allahyarham turut tidak ketinggalan dalam usaha mengangkat budaya Melayu serta ajaran Islam dalam karya dihasilkan.
Ia terbukti menerusi filem Semerah Padi (1956) yang menjadi filem Melayu pertama yang memperlihatkan babak suara Azan berkumandang.
Merupakan filem kedua arahan P. Ramlee selepas Penarek Becha (1955), Semerah Padi difahamkan pada mulanya dihasilkan untuk bertanding di Pesta Filem Asia yang diadakan di Hong Kong pada 1956.
Turut dicalonkan bersama filem Hang Tuah yang berjaya memenangi Anugerah Muzik Terbaik, namun Semerah Padi gagal memenangi sebarang pencalonan kerana disifatkan terlampau sarat dan sensitif dengan elemen keagamaan.
Namun, babak azan berkumandang laungan seniman tanah air itu cukup mendayu dan dianggap unik kerana berbeza dengan alunan dipertontonkan masa kini.
Segelintir pihak mempersoal hukum dan alunan azan yang dikatakan tidak mengikut tajwid yang boleh menjejaskan makna di sebalik bacaan ayat suci Al Quran itu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah menerusi kenyataan di laman web rasminya menjelaskan, hukum tajwid dalam mengalunkan azan berbeza dengan membaca Al-Quran.
Katanya, para fuqaha tidak menetapkan hukum tajwid khusus bagi alunan azan seperti mana Al-Quran dan hukum menjaga hak-hak huruf seperti makhraj dan sifat huruf adalah sunat serta wajib bagi muazin untuk menjaga lafaz azan supaya tidak mengubah makna.
Hukum itu berdasarkan kenyataan Imam Khatib al-Syirbini dalam karyanya:
يُكرهُ تمطِيطُ الأذانِ: أي تمدِيدُهُ والتغنِي بِهِ
Maksudnya: "Makruh memanjangkan azan iaitu memanjangkan mad dan melagu-lagukan lafaznya". (Riwayat al-Mughni al-Muhtaj: 1/325)
Maka dengan itu, pencerahan daripada pihak mufti jelas mengatakan tiada kesalahan jika alunan dan melodi azan itu berbeza dengan syarat lafaz azan dialungkan tidak mengubah sebarang makna sedia ada.
Tarikh 29 Mei 1973 merupakan detik hitam bagi industri perfileman tanah air apabila seniman itu menghembuskan nafas terakhirnya.
Kini, lebih lima dekad pemergiannya, naskhah filem dan lagu nyanyiannya masih dimainkan di corong-corong radio tempatan malah menjadi siulan generasi muda sekarang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram