Tamat kursus GIATMARA, 'Mowgli Malaysia' kini jadi mekanik motosikal di Terengganu


  • Tular
  • Isnin, 07 Okt 2024

Muhammad Syukur Khamis kini bekerja sebagai seorang mekanik di sebuah bengkel milik keluarganya dekat Kuala Terengganu, Terengganu.

TERKENAL dengan gelaran 'Mowgli Malaysia', Muhammad Syukur Khamis kini membuka sebuah bengkel motosikal di rumahnya dekat Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu, Terengganu.

Berjaya menamatkan kursus Teknologi Motosikal selama enam bulan di GIATMARA Hulu Terengganu, Terengganu, remaja berusia 19 tahun itu difahamkan baru selesai menyertai pertandingan servis motosikal di sebuah Ekspo TVET@KKDW yang diadakan di Melaka baru-baru ini.

Berkemahiran membaiki motosikal, Syukur meneruskan legasi perniagaan keluarganya dan kini merupakan seorang mekanik di bengkel yang terletak di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu.

BACA LAGI: [VIDEO] Budak merayu ditanduk kerbau berkali-kali, sempat berlindung bawah kereta

BACA LAGI: Import lembu, kerbau dari Australia digantung sementara

Perkara itu dikongsikan di laman Facebook rasmi GIATMARA Malaysia pada Jumaat dan tular ekoran penampilan remaja berkenaan yang dikatakan sudah mula menginjak ke alam dewasa.

“Ya benar! Beliau adalah Syukor Khamis – ‘The Kampung Boy’ yang pernah tular bersama kerbau kesayangan sejak beliau masih kecil lagi,” tulisnya di laman Facebook.

Terdahulu, gambar yang dipotretkan oleh jurugambar tempatan, Abdullah Dean menampilkan Syukur bersama beberapa ekor kerbau peliharaannya meraih perkongsian ramai warganet.

Malah, gambar itu turut diiktiraf di pentas antarabangsa dan menjadi terkenal selepas terpilih untuk dipamerkan di Austrian Cultural Forum di Itali, dalam himpunan gambar terbaik Alfred Fried Photography Award pada 2018.

Tidak berhenti di situ, gambar tersebut turut dinobatkan sebagai pemenang Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia atau Jalanan (Street or People). Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram