SUDAHLAH terpaksa berpanas, malah keadaan sesetengah penduduk Malaysia menjadi lebih teruk apabila berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air.
Cuaca panas atau fenomena El Nino yang sedang dialami negara ini mengakibatkan hujan berkurangan, sekali gus berisiko menyebabkan paras air sungai merosot dan empangan menjadi kering.
Keadaan cuaca itu juga malah dijangka berlarutan hingga September depan dengan antara negeri terlibat adalah Kelantan yang cukup sinonim dengan masalah bekalan air.
Bukan sahaja di Kelantan, sebelum ini, Majoriti melaporkan, kira-kira 5,000 penduduk Kampung Tinusa 2, di Batu 7, Sandakan, Sabah berdepan dengan masalah mendapatkan air bersih sejak lebih dua dekad lalu dan semakin buruk ketika cuaca panas ketika ini.
Selain Sandakan, perkara sama turut dialami oleh penduduk di beberapa kawasan di Labuan yang terpaksa mencatu keperluan asas tersebut.
Tak hadir ke sekolah
Bagi seorang suri rumah di Taman Mutiara, Nur Roziana, anak-anaknya tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah jika kediamannya berdepan masalah air.
"Ia demi menjimatkan penggunaan air disebabkan penghuni rumah kami ramai, tambahan pula saya juga ada anak kecil," katanya kepada Majoriti.
Seorang ibu berkongsi kisah dukanya apabila anak-anaknya tidak dapat ke sekolah kerana ketiadaan air.
Nur Roziana berkata, masalah ketiadaan air sudah kerap kali berlaku sejak awal dia berpindah ke situ sejak 12 tahun lalu.
Sebagai penyelesaian, dia terpaksa berbelanja lebih sedikit dengan membeli air mineral untuk keperluan harian termasuk memasak dan mencuci bahan mentah.
"Bukan itu sahaja, kami juga terpaksa mengangkut air ke tingkat empat jika stok air sudah habis dan ia amat menyusahkan dan memenatkan.
"Kami juga terpaksa bersusah payah simpan stok air di dalam botol dan tong," katanya sambil menambah tidak dapat menyambut hari perayaan jika berdepan masalah air.
Dakwanya lagi, penduduk daerah itu menderita masalah tersebut sejak dari zaman pemerintahan kerajaan terdahulu.
Lebih menyedihkan, dia mendakwa, tiada satu wakil rakyat mahupun pihak berwajib turun padang bagi memantau dan menyelesaikan masalah berkenaan.
Justeru, dia berharap agar Ketua Menteri dan jabatan terlibat dapat duduk semeja untuk berbincang mengenai masalah air di daerah itu.
"Contohnya, dengan menambah jumlah tangki imbang untuk bekalan penduduk. Penduduk semakin ramai tapi tangki imbangan tidak bertambah," jelasnya.
Tangki imbang yang digunakan oleh penduduk Labuan untuk menadah air. — Jabatan Bekalan Air Labuan
Sakit badan angkat air
Bukan setakat itu, aduan sama turut dikemukakan oleh seorang penjawat awam di Kampung Bukit Kuda.
Mary Grace, 50, berkata, dia bukan sahaja terpaksa membuat catuan air, malah perlu membasuh pakaiannya di dobi dekat kawasan bandar ketika masalah tersebut berlaku.
Dia yang sudah tinggal di situ sejak tujuh tahun lalu berkata, masalah bekalan air semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.
"Kalau dahulu sekali dalam sebulan atau tiga bulan, tapi sekarang ia berlaku hampir setiap minggu," katanya.
Akuinya lagi, dia terpaksa berbelanja besar ketika berlaku masalah air seperti membeli tangki, bekas air dan air mineral.
Bukan itu sahaja, dia pernah mengalami sakit belakang ketika mengangkut air untuk dibawa pulang ke rumah.
"Setakat ini, hari perayaan tidak mengganggu rutin harian saya. Nasib baik Hari Kaamatan tempoh hari tiada masalah air.
"Namun, masih tiada orang politik yang melawat kawasan sehingga kini.
"Saya cuma berharap agar sistem perpaipan di Labuan dapat dibaiki dan ditambah baik," pintanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, kerajaan Sabah sebelum ini membangkitkan isu keperluan untuk meminjam dana untuk meneruskan projek membina empangan.
Sementara itu, katanya, kerajaan Kelantan pula meminta dana berjumlah RM8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air yang berlarutan di negeri tersebut.
Cedera angkat air
Dalam pada itu, seorang penduduk di Kampung Lajau, Labuan, Sabah turut berkongsi cerita sedihnya susulan situasi ketiadaan air yang melanda kawasan perkampungannya.
Sudah tinggal lebih sembilan tahun di kawasan tersebut, Lanafiu Lahadi berkata, dalam tempoh satu bulan, kira-kira tiga hingga empat kali penduduk di tempatnya akan berhadapan isu air.
Salah seorang penduduk di Kampung Lajau, Labuan, Sabah meluahkan kekecewaan terhadap isu air yang melanda kawasan perkampungannya.
"Sebulan mesti akan ada tiga ke empat kali bekalan air terputus dan ini memang perkara yang menyusahkan lebih-lebih lagi buat keluarga yang ada anak kecil.
"Saya terpaksa menyimpan air dalam baldi dan mengangkut air daripada tangki bekalan Jabatan Bekalan Air, kami terpaksa beratur beramai-ramai semata-mata untuk sebaldi air.
"Lebih teruk, kami terpaksa berbelanja besar untuk beli air mineral kerana ketiadaan sumber minuman, harga mineral di sini agak mahal dan bukan semua yang mampu untuk beli dalam kuantiti banyak," katanya.
Ketika ditanya soal kecederaan dan luka dihadapi sepanjang proses mengangkut air, Lanafiu pantas menjawab persoalan itu dan menganggap ia sebagai satu perkara biasa dialami.
"Memang tangan mesti luka kalau angkat bebanan air terlampau berat, belakang pinggang juga sakit sebab kami semua bukan muda lagi, tak kira usia tua muda semuanya turun untuk dapatkan bekalan air.
"Sambutan Keamatan juga diraikan secara ala kadar sahaja, tiada yang istimewa kerana air tiada jadi kami hanya menggunakan cawan dan pinggan plastik pakai buang," tambahnya.
Tidak dikunjungi mana-mana pihak berkuasa mahupun ahli politik di kawasan terbabit, Lanafiu mewakili penduduk di kawasan perkampungannya mengharapkan agar pihak berkenaan segera memberikan bantuan.
Akur dengan nasib yang menimpa dirinya, dia bagaimanapun berharap agar masalah air dihadapi tidak berlarutan dan mampu diselesaikan dalam tempoh terdekat sekali gus memudahkan urusan penduduk di kawasannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram