Kisah menyayat hati 2023: Polis langgar mati pelajar, rider maut nahas kapal terbang terhempas dan pembunuh Zayn Rayyan masih bebas


  • Massa
  • Ahad, 31 Dis 2023

Tragedi dan prosiding mahkamah yang berlaku sepanjang 2023 pastinya sukar untuk dilupakan sebegitu saja.

BAKAL melabuhkan tirainya dalam masa beberapa jam saja lagi, tahun 2023 sudah pasti menjadi tahun yang tidak akan dilupakan.

Bukan itu sahaja, tahun 2023 turut melakar 1,001 episod duka tidak kira tragedi menyayat hati mahupun keputusan tragik dari kamar mahkamah.

Meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia, Majoriti mengimbau semula sorotan tragedi dan prosiding mahkamah yang berlaku sepanjang tahun ini sebagai iktibar buat masyarakat.

1. Kanak-kanak autisme Zayn Rayyan ditemui mati

zayyn

Mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan ditemui berhampiran anak sungai berdekatan kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor. — Facebook

Mayat kanak-kanak istimewa, Zayn Rayyan Abdul, 6, Matiin ditemui berhampiran aliran anak sungai berdekatan blok rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor 6 Disember lalu.

Terdahulu, ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkongsi di Facebook mengenai kehilangan anaknya ketika menaiki tangga Blok R ke rumah mereka selepas bermain di taman permainan apartmen berkenaan.

Biarpun pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes budak hilang dan mati mengejut, hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat kanak-kanak autisme itu mendedahkan mangsa sebenarnya dibunuh berdasarkan kesan luka mempertahankan diri pada tubuhnya.

Mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2, Petaling Jaya disyaki dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan berhampiran aliran anak sungai berkenaan selepas polis mula giat memburu suspek terbabit dengan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya sudah merakam 225 percakapan daripada keluarga serta penduduk di Apartmen Idaman Damansara Damai dan mengambil 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk tujuan siasatan.

Khidmat Polis Antarabangsa (Interpol) turut dihubungi bagi merungkai misteri kes pembunuhan kanak-kanak itu yang sehingga berita ini ditulis masih belum ada noktahnya.

2. Polis rempuh pelajar sekolah sampai maut

Pelajar-maut

Seorang pelajar sekolah maut dirempuh sebuah kenderaan dipandu anggota polis di Ipoh. — Facebook

Seorang pelajar sekolah tingkatan lima maut dirempuh kereta dipandu pegawai kanan polis di Jalan Taman Jati, Meru, Ipoh, Perak pada 15 Disember lalu.

Hasil siasatan dijalankan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didapati negatif dadah dan bedah siasat mendapati mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, meninggal dunia akibat kecederaan di dada dan perut.

Pada 18 Disember lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak atas tuduhan membunuh.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan 7 Februari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu pengesahan maklumat berkaitan seperti laporan kimia.

3. Lelaki bunuh, bakar kekasih sebab nak rahsiakan kehamilan

jsjuud

Agus Salim menunjukkan imbasan ultrabunyi yang dipercayai milik mangsa dalam kejadian kes bunuh dan bakar seorang wanita berusia 21 tahun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam.

Pada Mei lalu, penduduk Kampung Sungai Limau dekat Sungai Besar, Selangor dikejutkan dengan penemuan mayat terbakar di tepi kebun kelapa selepas ternampak kepulan asap ketika melalui kawasan tersebut.

Selepas siasatan awal dijalankan, pihak polis mendapati mayat tersebut merupakan seorang wanita hamil berusia 21 tahun yang bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran berhampiran.

Hasil soal siasat mendapati, seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga merupakan kekasih mangsa telah menjalin hubungan cinta selama setahun.

Selepas mengetahui kekasihnya hamil, suspek telah keluar bersama mangsa menaiki kereta keluarga sebelum memukul wanita ini sehingga pengsan dan menikam perut menggunakan pisau bagi mengeluarkan kandungan tersebut.

Suspek kemudiannya telah membakar mangsa dengan menggunakan petrol bagi melupuskan bukti dan kembali kali kedua ke tempat kejadian dengan menunggang motosikal bagi menyelesaikan misinya untuk membakar mayat kekasihnya itu sekali lagi.

Suspek, Muhamad Fakrul Aiman Sajali kini telah pun didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

4. Nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam

pesawat

Gambar tular momen terakhir penumpang pesawat yang terhempas di Elmina.

Pada 17 Ogos 2023, pesawat ringan jenis Beechcraft Premier 1 telah terhempas dan mengorbankan 10 nyawa di Elmina Central Park, Shah Alam, Selangor.

Salah seorang daripada mereka yang maut di tempat kejadian ialah Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang juga merupakan Adun Pelangai.

Nahas tersebut bukan sahaja menggadai nyawa anak kapal dan penumpangnya namun dua pengguna jalan raya iaitu pemandu e-hailing dan p-hailing turut terkoban.

5. Rider 'big bike' maut, tercampak dari jambatan Lebuhraya SUKE

bikee

Tangkap layar kejadian kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Lebuhraya SUKE pada Jun lalu.

Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya tercampak jatuh daripada jejambat (flyover) di susur keluar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 14 Jun lalu.

Kejadian berlaku dipercayai selepas mangsa cuba mengelak seorang penunggang motosikal yang melawan arus sebelum terbabas dan terjatuh ke bawah.

Mangsa yang difahamkan menunggang motosikal jenis Ducati dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menegaskan reka bentuk Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) termasuk di kawasan selekoh jejambat memenuhi spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya bersimpati dengan penunggang terbabit yang maut selepas terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang, Selangor.

Justeru, pihaknya difahamkan akan mewujudkan langkah tambahan dari segi keselamatan trafik seperti papan tanda amaran tambahan di tempat strategik dan hebahan media untuk menghindar kejadian sama berlaku di masa akan datang.

6. Insiden basikal lajak: Sam Ke Ting dibebaskan Mahkamah Rayuan

ting

Sam Ke Ting membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa sebaik dibebaskan Mahkamah Rayuan pada 11 April 2023. — Bernama

Pada 18 Februari 2017, lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta dipandu Sam Ke Ting di Jalan Lingkaran Dalam dekat Johor Bahru, Johor.

Pada 28 Oktober 2019, dia dibebaskan oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan berkenaan. Bagaimanapun, pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pemandu wanita itu membela diri atas pertuduhan berkenaan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ke Ting.

Namun, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskannya pada 10 Oktober 2021.

Sehari kemudian, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan itu.

Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret dan memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000.

Seterusnya pada 11 April 2023, Mahkamah Rayuan Putrajaya membebaskan Ke Ting daripada kesalahan melanggar lapan kanak-kanak menunggang basikal lajak selepas enam tahun kejadian itu berlalu.

Pembebasan Ke Ting itu turut menjadi tumpuan awam dan menyebabkan warga maya bertelagah sesama sendiri kerana ada yang merasakan pembebasan Ke Ting sebagai situasi tidak adil pada keluarga mangsa.

7. Pembunuh Along Spoon terlepas hukuman penjara sepanjang hayat

spoon

Penyanyi terkenal era 90-an, Along Spoon (kiri) dan tertuduh, Mohamed Ya’cob Demyati. — Facebook

Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 16 November meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada pemenjaraan selama 33 tahun ke atas bekas anggota polis, Mohd Ya’cob Demyati yang didapati bersalah membunuh penyanyi kumpulan Spoon, Sabi’ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along Spoon.

Ia susulan pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun ini.

Pemansuhan itu juga sekali gus menyaksikan sistem perundangan negara melakar sejarah apabila menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) pada 12 September, yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan menggunakan budi bicara untuk menyemak semula kes membabitkan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat.

Mahkamah Persekutuan meminda hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap Mohamed Ya’cob kepada pemenjaraan selama 33 tahun di bawah akta itu dan dia dibebaskan pada hari pendengaran, 16 November selepas mengambil kira satu pertiga pengampunan yang diberikan kerana berkelakuan baik.

Mohamed Ya’cob, 57, sebelum ini diperintah menjalani hukuman mati namun ia diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.

Untuk rekod, Along Spoon dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum polis menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang, Negeri Sembilan pada 6 Januari 2000.

8. Liwat, seks dengan mayat antara peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dicabar Nik Elin Zurina

nik

Nik Elin Zurina (tengah) mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasa apabila menjenayahkan 20 peruntukan dalam enakmen tersebut. — Bernama

Nama Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mula menjadi bualan ramai selepas dia dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasa apabila menjenayahkan 20 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Untuk rekod, Nik Elin Zurina dan anak perempuannya membuat petisyen tersebut pada 30 September tahun lalu dan kedua-dua mereka diberikan kebenaran untuk memulakan cabaran berdasarkan Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengisytiharkan peruntukan-peruntukan tertentu dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan, adalah tidak sah atas alasan peruntukan-peruntukan tersebut melibatkan perkara yang bukan dalam bidang kuasa Badan Undangan Negeri Kelantan untuk membuat undang-undang.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Bagaimanapun setakat 20 November 2023, pendengaran petisyen di Mahkamah Persekutuan Putrajaya masih di peringkat pendengaran dan belum ada keputusan yang telah ditetapkan.

9. Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias berdepan tuduhan amang seksual

1773748

Pendakwah selebriti PU Azman berdepan tuduhan mahkamah atas dakwaan kelakuan amang seksual terhadap remaja lelaki. — Bernama

Azman Syah Alias, 43, ataupun lebih dikenali sebagai PU Azman pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Pada 7 Disember lalu, pendakwah selebriti terbabit sekali lagi didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu di tandas dan ruang tamu sebuah rumah dekat Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan, 6 Julai 2022.

Dalam pada itu, pada 22 Disember lalu, Azman berdepan tujuh lagi pertuduhan di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang, berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Azman didakwa atas 10 pertuduhan lain bagi kes sama di Seremban, Klang dan Ampang, malah telah menggunakan wang simpanannya untuk menjelaskan keseluruhan ikat jamin sebanyak RM74,000.

Namun, selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Rasyihah Ghazali di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.

Terbaharu, Azman diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor pada 28 Disember atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, tahun lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said membuat keputusan itu terhadap Azman Syah, 42, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan tarikh 12 Januari 2024 untuk sebutan semula kes.

Untuk rekod, tertuduh turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang, Selangor dan Mahkamah Sesyen Ampang, Kuala Lumpur.

10. Siti Bainun dipenjara 12 tahun

sitiii

Siti Bainun dijatuhkan hukuman penjara atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down. — Bernama

Kes Siti Bainun Ahd Razali, 31, tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella, 13, disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda dekat Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Susulan itu, pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga remaja terbabit, telah mengabaikannya dan menyebabkan remaja tersebut mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November tahun sama, pengasas Rumah Bonda berkenaan sekali lagi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu.

Selepas hampir setahun kes itu berlarutan di mahkamah, tertuduh akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023.

Dalam pada itu, hakim turut mengarahkan Siti Bainun melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Terbaharu, susuk tubuh Siti Bainun yang semakin kurus, menarik perhatian semua pihak yang hadir di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Dia yang memakai jubah merah jambu, dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara, kelihatan tenang ketika disapa ahli keluarga dan rakan-rakannya yang memakai baju serba putih.

Namun, pendengaran rayuannya ditangguhkan ke 30 Januari 2024 selepas peguam, Haijan Omar mewakili Siti Bainun selaku pemohon, memaklumkan pembelaan menerima nota keterangan yang tidak lengkap.

Antara dokumen yang tidak lengkap katanya, membabitkan nota keterangan daripada saksi pembelaan kelapan, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram