PELAKON veteran, A Galak atau nama sebenarnya, Zakaria Ahmad, 82, merupakan individu disegani dalam industri perfileman tanah air.
Identitinya yang bermisai 'lentik' itu sememangnya antara keunikan dimiliki hingga digelar 'Sarjan Misai' kerana mengekalkan penampilan itu dalam mana-mana drama lakonannya.
Cukup sinonim dengan naskhah berbentuk polis dan tentera, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mula bertapak dalam industri sebagai pelakon tambahan di layar hitam putih antaranya, Nujum Pak Belalang, Ali Baba Bujang Lapok dan Gerak Kilat.
BACA LAGI: SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'
Popularitinya memuncak apabila ditawarkan berlakon dalam drama siri Gerak Khas arahan Datuk Yusof Haslam pada 1999 dan sehingga kini, A Galak kekal dengan reputasinya tersendiri apabila dianggap sepadan dengan watak sebagai polis dan tentera.
Filem Darah Satria (1983) menjadi bukti betapa pelakon versatil itu cukup sesuai dengan watak sedemikian apabila berjaya memupuk semangat patriotisme dalam jiwa setiap penonton yang menyaksikan filem tersebut.
Filem arahan Datuk Aziz Satar itu mengisahkan Leftenan Ariff yang mengetuai pertempuan menentang pengganas.
Memegang watak sebagai Sarjan Razak, filem perjuangan itu nyata menyentuh perasaan terutama mengenangkan kesungguhan anggota barisan hadapan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Perkongsian warganet di laman media juga berpendapat bahawa lakonannya cukup berkesan dan berjaya mempengaruhi penonton menceburi bidang ketenteraan.
"Sebab filem ni lah aku pupuk minat aku dalam tentera, 2002 lapor diri ke Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), syukur tamat perkhidmatan selama 21 tahun," kata Riedzwan Otop.
"Sebab filem ni la ramai yang sertai tentera pada masa itu, memang berjasa filem Darah Satria ni," ujar Aliff Ubaidillah.
"Kita dah pencen baru dua tahun, minat dari kecil, banyak kerja dah buat semua tak menjadi sudahnya ambik keputusan masuk askar umur 23 tahun, Alhamdulillah lulus tercapai cita-cita dari kecil lepas tonton Darah Satria," tambah Sandy.
Memasuki era tahun 2000, karier A Galak sebagai polis dan tentera kekal relevan dengan beberapa lakonannya menerusi drama Gerak Khas, Roda-Roda Kuala Lumpur, Skuad Khas dan pelbagai lagi filem lain dibintanginya.
Kali terakhir melakonkan watak sebagai inspektor polis adalah pada 2016 dalam filem Lu Mafia Gua Gangster arahan Krishna Roy.
Seolah-olah tiada tiada tarikh luput, A Galak kekal menjadi pilihan pengarah produksi perfileman tanah air apabila masih mendapat tawaran berlakon meskipun dibanjiri ramai pelakon muda masa kini.
Paling menarik, identitinya yang bermisai masih dikekalkan dalam mana-mana lakonannya biarpun tidak memegang watak sebagai polis.
Terbaharu, A Galak difahamkan baru selesai menjalani penggambaran filem cereka berjudul Sumpah Keramat Mat Kilau beberapa bulan lalu.
Berkisarkan sejarah Mat Kilau yang menentang penjajahan British, dia membawakan watak sebagai Mat Kilau pada usia tua dan set penggambaran filem itu dibuat di Jerantut, Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram