INDUSTRI muzik negara kian berkembang maju dengan kelahiran bakat-bakat baharu yang sentiasa berdaya saing menerusi karya seni dihasilkan.
Tidak hanya berpaksikan pada platform arus perdana, industri bawah tanah atau 'underground' turut rancak dengan kehadiran pemuzik berbakat yang kreatif dalam penghasilan lagu serta susunan muzik bertaraf antarabangsa.
Patriots merupakan antara kumpulan muzik rock berbakat yang cukup dikenali dalam kalangan peminat muzik 'underground'.
BACA LAGI: Versi lebih 'nakal', lagu Herman Tino 'Mengapa Dikenang Mengapa Difikir' dapat sentuhan magis Monoloque
Tampil berimej 'celoreng biru' pada muka dan badan, kumpulan berasal dari Shah Alam, Selangor itu memiliki agenda tersendiri yang cuba disampaikan di sebalik identiti tersebut.
Amir merupakan vokalis kumpulan Patriots.
Vokalisnya, Amir Shazrin menggelar ia sebagai salah satu bentuk seni dan mesej istimewa yang ditampilkan pada setiap lagu dipersembahkan.
"Cat celoreng biru ni menggambarkan fahaman dan objektif kami semuanya serupa iaitu minat yang mendalam terhadap muzik.
"Bukan sahaja untuk muzik, tetapi ia juga satu kelainan ditujukan khas buat pendengar dan peminat kami supaya mereka tahu yang kami sepakat sebagai sebuah band rock.
"Secara tidak langsung, ia jadi ikutan dan lambang 'trademark' kami pada setiap persembahan dan konsert apabila penonton pun turut sama mewarnakan muka mereka dengan cat biru, semua berkongsi identiti yang sama tanpa mengira siapa dan asal usul," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Patriots sebelum ini pernah menggegar industri rock di Jepun apabila berkolaborasi bersama pemuzik di sana.
Menganggap penerimaan dan industri muzik di negara Matahari Terbit itu jauh lebih besar berbanding Malaysia, Patriots ingin sekali lagi mencuba nasib untuk mengembangkan bakat ke sana selepas kejayaan mereka menjalankan konsert jelajah Tokyo dan Osaka pada tahun lalu.
"Ini bukan kali pertama kami ke Jepun, tahun lalu sambutan sangat-sangat menggalakkan dan perancangan seterusnya adalah untuk sekali lagi menjelajah ke sana dengan album terbaharu kami yang dijangkan dilancarkan hujung tahun ini.
"Di Malaysia kita akan teruskan berkarya seperti biasa, bukan nak pinggirkan negara sendiri tetapi sasaran Patriots memang mahu ke luar negara.
Patriots ketika mengadakan konsert jelajah Jepun pada tahun lalu.
Ketika disoal tentang genre muzik keras yang dibawakan, Amir tegas meyatakan bahawa tidak semua lagu yang dihasilkan bernada sedemikian.
Katanya, Patriots ingin dikenali sebagai sebuah kumpulan muzik rock yang bervariasi dalam penyampaian lagu dan persembahan.
"Memang ada bahagian 'screamer' yang orang kata agak berat dan keras, tapi ia bukan semua lagu kami macam itu, bahkan lirik pun tidak membawa sebarang maksud keganasan.
"Penyampainnya sahaja kelihatan keras tetapi lirik dan lagu kami kebanyakannya berbentuk positif.
"Lagu terbaru kami contohnya Parasite mengajak orang ramai untuk terus melangkah ke depan, tinggalkan segala kepedihan dan memori pahit pernah berlaku untuk capai kehidupan baharu yang lebih bermakna," ujarnya.
Penampilan Patriots di pentas kini diserikan lagi dengan kedatangan penyanyi perempuan baharu yang dilihat sebagai pelengkap kepada kumpulan tersebut.
Tidak menjadikan mana-mana kumpulan muzik tempatan mahupun luar negara sebagai ikutan dan pengaruh imej dibawa, Patriots mahu terus mengembangkan karya seninya hingga dikenali di rantau Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram