Lagu ‘healing’ jadi identiti, Umar Akmal mahu ‘berguru’ dengan sifu M. Nasir


  • Hiburan
  • Isnin, 07 Okt 2024

Umar Akmal merupakan pendatang baharu dalam industri muzik tanah air.

BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan’, industri muzik tanah air tidak pernah sunyi dengan bakat-bakat baharu yang sentiasa mewarnai seni tempatan dengan karya dan kreativiti masing-masing.

Tambahan pula dengan teknologi digital yang semakin canggih, membolehkan seseorang pengkarya itu timbul dan terlahir dari platform berkenaan yang kian mendapat tempat di hati pengguna generasi muda.

Segelintir pihak mula melabel setiap pemuzik yang tercipta dari media sosial seperti TikTok dan You Tube misalnya, tiada kelainan dan hanya gah dari segi nama serta gimik semata-mata tanpa mengutamakan kualiti.

BACA LAGI: Lagu hampir 10 juta views di YouTube, imej botak Tantari bukan kerana Achey, sebaliknya angkara Azizulhasni Awang

BACA LAGI: Dari Shah Alam ke Jepun, imej celoreng biru jadi saksi 'screamer' seni rock, pop mosh Patriots

Namun, pendatang baharu Umar Akmal, 27, tampil berbeza apabila memperjuangkan muzik genre ‘folk indie’ yang sarat dengan makna dan mesej kehidupan sesuai dengan pendengar daripada pelbagai kelompok usia.

Dilabel sebagai muzik ‘healing’ oleh sesetengah pihak, lagu terbaharunya berjudul Dewasa Yang Ku Impikan membawa pendengar menyelami erti sebenar kehidupan di alam dewasa yang secara dasarnya tidak semudah yang disangka.

photo_2024-10-05_22-15-29

Umar Akmal merupakan lepasan graduan Sarjana Industri Budaya dan Kreatif UiTM.

Merupakan single ke-13 dihasilkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, Umar mengajak pendengar untuk berdamai dan memahami realiti sebenar melangkah ke alam dewasa kerana ia merupakan destinasi yang pasti dituju setiap individu satu hari nanti.

“Lagu Dewasa Yang Ku Impikan saya hasilkan untuk memberi tahu kepada orang ramai yang alam dewasa tidak semudah dan pada masa sama seburuk yang disangka.

“Waktu kecil dahulu kita teringin sangat nak menjadi dewasa dengan harapan boleh bebas, ada banyak wang dan boleh berbuat apa sahaja, tetapi realitinya sangat berbeza kerana kita perlu pikul komitmen dari segenap sudut.

“Tidak bermaksud untuk mewujudkan sentimen negatif, tetapi setiap lirik ditulis sebenarnya mengajak pendengar untuk berdamai dengan situasi dewasa yang sememangnya penuh ranjau dan cabaran,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, anak jati Johor Bahru, Johor ini memasang impian untuk berkolaborasi dan ‘berguru’ dengan komposer tersohor negara, Datuk M. Nasir satu hari nanti.

Menganggap penyanyi otai negara itu sebagai individu penting yang mempengaruhinya untuk menceburkan diri dalam bidang muzik dan penulisan lirik, Umar yang juga merupakan pelajar lepasan Sarjana Industri Budaya dan Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) mahu terus melebarkan sayap dalam karier nyanyian.

“M. Nasir antara individu yang mempengaruhi saya untuk benar-benar mendalami maksud lirik, bukan sekadar penghasilan melodi dan lagu semata-mata tetapi lebih kepada mesej puitis yang ingin disampaikan.

“Memang saya pasang impian untuk bekerjasama dengan M. Nasir tetapi itu merupakan cita-cita yang saya sendiri tak tahu boleh ke tidak direalisasikan.

“Kalau di arena ‘underground’, saya merancang untuk berduet ataupun kolaborasi bersama kumpulan Mafidz kerana genre kami boleh kata hampir sama dan saya juga amat meminati mereka dah lama,” tambahnya.

Meskipun mengambil kursus perfileman di peringkat ijazah dan sarjana sebelum ini, Umar menganggap ia sebagai satu kelebihan yang boleh dipertaruhkan dalam industri tanah air kerana mampu bergerak seiring dalam kedua-dua bidang tersebut.

Turut meminati bidang perfileman, muzik video lagu Dewasa Yang Ku Impikan juga merupakan hasil karya arahannya sendiri dan kini telah mencapai lebih 30,000 tontonan di You Tube. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram