SIAR: 'Encik.. sound dia rosak, Tipah tertipu bang', baris dialog filem retro kekal malar segar sampai 2024


  • Hiburan
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Seniman Bujang Lapok (1961) merupakan antara filem klasik paling diminati penonton masa kini.

BARISAN pelakon dan plot penceritaan filem kebiasaannya menjadi simbolik dan tanda ingatan penonton terhadap sesebuah karya dihasilkan di layar perak.

Namun, tanpa disedari dialog dan lakonan dipersembahkan dalam sesebuah naskhah juga mampu membawa masyarakat mengimbau kembali nostalgia ketika menonton filem era 1990-an di pawagam mahupun kaca televisyen satu ketika dahulu.

Biarpun sudah berdekad lamanya, senyuman di bibir dan gelak tawa penonton masih mampu terukir berbekalkan beberapa skrip dan dialog filem yang disifatkan malar segar dalam ingatan.

Majoriti membawa penonton kembali mengimbau beberapa filem dengan dialog 'emas' menjadi simbolik sehingga ke hari ini.

1. Seniman Bujang Lapok (1961)

Merupakan antara karya agung seniman tanah air P. Ramlee, Seniman Bujang Lapok sememangnya antara filem kegemaran ramai bukan sahaja di era kegemilangannya, malah turut diminati generasi muda masa kini.

Dialog ikonik 'Encik.. sound dia rosak' dilontarkan S. Shamsuddin dalam satu babak bersama penghuni rumahnya, cukup untuk membuatkan masyarakat tertawa terbahak-bahak mengenangkan filem layar hitam putih tersebut.

Paling menggamit memori, dialog 'Pak mat tempe berlanggar dengan motorcar' turut mengundang seribu satu ingatan penonton terhadap filem yang memaparkan lakonan trio Allahyarham P Ramlee, S. Shamsuddin dan Aziz Sattar itu.

2. Jejaka Perasan (1987)

Filem komedi lakonan Salih Yaacob pada 1987 ini merupakan antara naskhah pecah panggung arahan A. R. Badul.

Membawakan watak sebagai Dolah, Jejaka Perasan berkisahkan suka-duka dua sekawan yang berhijrah ke Kuala Lumpur selepas dihalau keluarga di kampung.

"Orang bercinta memang macam tu. Belum dapat... "bukit sanggup kudaki, lautan sanggup kurenangi".

"Bila dah dapat, parit pun tak lepas!” ujar Salih dalam filem tersebut.

Meskipun merupakan sebuah filem komedi, namun pesanan dialog daripada watak Dolah itu sarat dengan teladan dan nasihat sinis ditujukan kepada lelaki miang di luar sana.

3. Ali Setan (1985)

Filem percintaan pelajar kolej, Ali Setan sememangnya antara kisah romantis paling agung satu ketika dahulu.

Gandingan Ogy Ahmad Daud dan Allahyarham Azmil Mustapha digelar duo paling romantis di zaman itu ekoran fenomena hebat yang tercetus daripada filem tersebut.

Dalam pada itu, denyutan nadi penonton seolah-olah terhenti apabila dialog 'You tau tak Ali tu dah ada isteri' serta 'Tipah Tertipu bang' dimainkan dalam salah satu babak filem berkenaan.

Babak putar belit (plot twist) dalam karya arahan Jins Shamsuddin itu benar-benar meruntuhkan jiwa setiap penonton yang cukup terkesan atas perlakuan Ali lakonan Azmil Mustapha. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram