MESKIPUN menjangkau usia 59 tahun, pelakon veteran tanah air, Ruzaidi Abdul Rahman atau lebih mesra disapa Wak Didi antara insan disegani generasi kini terutamanya penggemar filem aksi di layar perak.
Fizikalnya yang masih bertubuh tegap dan sasa membuatkan penampilannya dalam dunia hiburan kekal relevan apabila masih menerima tawaran lakonan.
Bermula sebagai seorang atlet pesilat negara pada era 1990-an, anak jati Klang, Selangor ini kemudiannya menceburkan diri dalam dunia seni menerusi filem pertamanya iaitu Kelisa (1992).
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa pelakon dan guru silat itu memiliki rekod cemerlang dalam sukan silat di peringkat antarabangsa.
Beberapa pencapaiannya sebelum ini masih menjadi bualan peminat antaranya, pemenang pingat emas Sukan SEA (1986), juara Kejohanan Silat Dunia (1990) di Belanda, Juara Kejohanan Silat Terbuka Antarabangsa (1990) dan Juara Kejohanan Silat Kebangsaan (1988, 1989, 1990).
Merupakan antara pesilat disegani dunia satu ketika dahulu, peralihan kariernya dalam bidang lakonan juga tidak kurang hebatnya apabila pernah terlibat dalam pembikinan filem aksi Hong Kong, Yes Madam 5 (1996).
Keratan akhbar Ruzaidi ketika mewakili negara di Sukan SEA.
Ibarat satu identiti buatnya, mana-mana filem lakonannya pasti akan diselitkan elemen seni pertahan diri dan aksi berlawan yang jelas menonjolkan kemahiran Wak Didi.
Filem Yes Madam 5 turut memaparkan aksi bekas pesilat negara itu yang kelihatan tangkas melawan dan beraksi bersama bintang terkemuka Hong Kong antaranya Cynthia Khan, Billy Chow, Sharon Yeung Pan Pan dan James Ha.
Lanjutan daripada itu, namanya semakin mekar dalam seni pertahan diri hinggakan ada yang menganggap Ruzaidi sebagai 'mahaguru' silat bagi pelakon generasi kini.
Terdahulu, Ruzaidi pernah menyuarakan pandangannya terhadap pelapis industri perfileman tempatan sekarang yang disifatkan hanya 'keras' di luaran sahaja.
Jelasnya, senario perfileman tempatan lebih banyak menggunakan artis yang memiliki ketampanan wajah, namun tidak mempunyai ilmu dan pengalaman apabila perlu menjayakan watak sebagai pesilat.
Malah, Ruzaidi turut meluahkan kebimbangannya terhadap karya filem seni pertanan diri tempatan yang dikatakan jauh ketinggalan berbanding negara jiran Indonesia dan Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram