SIAR: 'Heroin pujaan kanda', seniwati Sarimah antara 3 'kekasih lama' kekal diminati penonton sampai sekarang


  • Hiburan
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Ruminah Sidek (kiri) antara pelakon filem hitam putih negara yang masih diminati hingga ke hari ini.

'TIADA lama, tiadalah yang baharu'. Bakat pelakon-pelakon baharu hari ini disifatkan sebagai pewaris kepada seniman dan senimawati dimiliki negara satu ketika dahulu.

Bagaikan tiada penghujungnya, negara sentiasa dimeriahi dengan barisan pelakon berbakat yang dianggap penerus legasi seni tanah air.

Pun begitu, populariti dan karya pelakon veteran wanita negara satu ketika dahulu, masih meninggalkan impak besar kepada industri negara.

BACA LAGI: SIAR: 'Encik.. sound dia rosak, Tipah tertipu bang', baris dialog filem retro kekal malar segar sampai 2024

BACA LAGI: Semerah Padi saksi karya 1,000 tahun P. Ramlee, Seniman Agung papar laungan azan pertama dalam filem Melayu

Drama dan filem layar hitam ketika era 1960-an, menjadi satu naskhah 'emas' yang masih ditonton serta menjadi rujukan pelakon generasi baharu kini.

Tak lapuk ditelan zaman, beberapa pelakon veteran yang dahulunya diangkat sebagai 'heroin' pujaan kekanda, masih diminati sehingga ke hari ini.

1. Ruminah Sidek

Tidak dinafikan, Ruminah Sidek, 77, tidak memiliki banyak koleksi filem hitam putih kerana lebih kerap muncul dalam karya berwarna pada era 1980-an.

Namun, kehebatannya yang membawakan watak Norma dalam filem pertamanya, Anak Bapak pada 1968 masih memberi kesan sehingga ke hari ini dan dikenangi sebagai pelakon yang cukup menghiburkan di samping lakonannya bersama Allahyarham P. Ramlee.

Kini, Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah kerap diberikan untuk berlakon dalam filem seram atau membawa watak mistik seperti nenek kebayan dalam Puteri Gunung Ledang.

Antara filem yang dibintangi beliau ialah Congkak, Jangan Pandang Belakang, Magika, Senjakala, Suatu Malam Kubur Berasap, Momok:Jangan Cari, Hantu Bungkus Ikat Tepi, Redha dan Homestay:Permainan Maut.

2. Datuk Sarimah Ahmad

Muncul buat pertama kali dalam filem Ali Baba Bujang Lapok (1961), kejelitaan senimawati negara, Datuk Sarimah Ahmad, 82, bagaikan tiada tarikh luputnya apabila masih mewarnai industri negara hari ini.

Kariernya memuncak apabila melakonkan watak sebagai isteri ketiga kepada Jamil lakonan Tan Sri P.Ramlee dalam filem Madu Tiga (1964) selain turut meraih populariti ketika bergandingan dengan Tan sri Jins Shamsuddin menerusi Si Tanggang (1961).

Selain daripada membintangi layar hitam putih, Sarimah turut menjadi tunjang utama dalam beberapa buah filem warna antaranya Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu, Dia Ibuku dan Sepi Itu Indah.

Sehingga kini, Sarimah masih menjadi pilihan syarikat produksi dan pengarah yang gemar menawarkan watak sebagai ibu buat pelakon kelahiran Pekan, Pahang itu.

3. Liza Abdullah

Gandingan Liza Abdullah, 60, atau nama sebenarnya, Norliza binti Abdullah bersama Allahyarham AR Badul dalam Pagar Pagar Cinta (1984) cukup popular dalam kalangan penggemar filem komedi.

Merupakan antara pelakon veteran yang masih aktif menerima tawaran berlakon, Liza Abdullah kini lebih terkenal dengan watak antagonis, Mak Leha menerusi drama 7 Hari Mencintaiku (2021).

Keberkesanan watak itu berjaya melonjakkan namanya apabila dinobatkan selaku pemenang trofi Anugerah Bintang Popular Harian (ABPBH) bagi kategori Watak Antagonis Popular pada 2021.

Malah, segelintir peminatnya menganggap pelakon veteran itu cukup memukau dan tidak tua ditelan zaman ekoran kecantikannya yang dikatakan masih menawan meskipun dimamah usia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram