KEMAJUAN teknologi masa kini kian canggih dengan pembaharuan pada peranti telefon pintar, mula memainkan peranan dalam kehidupan seharian manusia.
Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kuasa besar negara seperti Amerika Syarikat dan China misalnya, tidak henti-henti meneroka teknologi baharu yang ternyata amat diperlukan dalam kehidupan hari ini.
Industri perfileman dunia turut terkena tempiasnya apabila para pembikin filem mula melakukan transformasi yang disifatkan sangat luar biasa dan jauh lebih berbaloi daripada kebiasaannya.
BACA LAGI: Asia setanding Hollywood, Jet Li tolak tawaran filem The Matrix, enggan seni kung fu ditiru Barat
BACA LAGI: Sama macam Marvel, Sonic The Hedgehog perkenal 3 lagi varian dimensi 'multiverse'
Menggunakan peranti iPhone 15 Pro Max di set penggambaran, sebuah filem zombi arahan Danny Boyle bertajuk 28 Years Later dihasilkan sepenuhnya menggunakan peranti keluaran syarikat Apple itu.
Selesai menjalani sesi penggambaran sekitar Ogos lalu, filem berkenaan dijangka akan ditayangkan pada Jun 2025.
Walau bagaimanapun, pihak produksi filem itu pada mulanya difahamkan cuba merahsiakan perkara itu dengan setiap kru serta pelakon diminta menandatangani surat perjanjian untuk tidak mendedahkan hal tersebut.
Namun, perkongsian imej tular di set penggambaran filem itu membongkar segalanya apabila salah seorang pelakonnya dilihat sedang berdialog di hadapan sebuah telefon pintar yang dipasang pada tripod.
Hangat diperkatakan di laman sosial, pihak produksi dan kakitangan syarikat berkenaan kemudiannya mengesahkan perkara itu dengan telefon digunakan adalah jenis iPhone 15 Pro Max.
Salah satu babak tular memaparkan adegan yang dirakam menggunakan peranti iPhone.
Sebelum ini, beberapa filem lain turut pernah dirakam menggunakan peranti Apple tersebut namun, 28 Years Later dikatakan satu-satunya yang menelan kos perbelanjaan tertinggi bernilai lebih AS$75 juta (RM309 juta).
Dalam pada itu, beberapa adegan aksi dalam filem itu turut menggunakan iPhone 15 Pro Max yang diikat pada haiwan ternakan yang dinamakan sebagai teknik 'GoatPros'.
Beberapa keistimewaan dimiliki, menjadi faktor mengapa filem itu dirakamkan sepenuhnya menggunakan iPhone.
Teknik penggunaan iPhone digunakan dalam rakaman sesebuah filem.
Antaranya, iPhone 15 Pro Max dikatakan mampu merakam video pada kualiti tertinggi menyamai kamera produksi dengan resolusi 4K, fleksibel dalam adegan gegaran dan tona warna kontras yang sangat sempurna.
28 Years Later mengisahkan seorang pemuda yang tersedar dari koma di sebuah hospital London, menyedari kakitangan di situ sudah dijangkiti virus zombi dan memakan daging manusia.
Virus itu difahamkan sangat berbahaya dan boleh berjangkit melalui darah hanya dalam beberapa saat.
Kejayaan filem itu dihasilkan menggunakan peranti iPhone, secara tidak langsung melonjakkan lagi pasaran syarikat Apple di mata dunia dan tidak mustahil satu hari nanti, kaedah itu diguna pakai pengarah-pengarah dari negara lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram