Lagu hampir 10 juta views di YouTube, imej botak Tantari bukan kerana Achey, sebaliknya angkara Azizulhasni Awang


  • Hiburan
  • Selasa, 01 Okt 2024

Penyanyi cilik, Tantari memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian.

KEHADIRAN penyanyi cilik, Tantari dalam dunia seni hiburan tanah air semakin mendapat perhatian ramai selepas lagunya, Rindu Hatiku Rindu meraih lebih 9.1 juta tontonan di YouTube setakat ini.

Menduduki carta teratas laman platform itu selepas 17 hari dilancarkan pada Februari lalu, Tantari atau nama sebenarnya, Naufal Azahel Mohd Alfian yang baru berusia tujuh tahun, kini tampil dengan lagu duet bersama pelawak Achey berjudul Biar.

Gandingan dua individu berimej 'botak' itu turut menerima sambutan hangat apabila meraih lebih 60,000 tontonan dan tersenarai dalam 'Top 30 Trending' di YouTube dalam masa tiga hari dilancarkan sejak awal September lalu.

BACA LAGI: Versi lebih 'nakal', lagu Herman Tino 'Mengapa Dikenang Mengapa Difikir' dapat sentuhan magis Monoloque

BACA LAGI: [VIDEO] Dikecam kerap bagi 'kata mutiara', ramai cadang Man Raja Lawak jadi pakar motivasi, penceramah di sekolah

Masih mengekalkan genre rock zaman 1990-an, identiti kedua-dua penyanyi itu dianggap sepadan bukan sahaja dari segi nyanyian malah rupa dan imej juga dikatakan saling tidak tumpah seperti ayah dan anak.

Bercerita lanjut berkenaan identitinya yang berkepala botak itu, bapanya, Mohd Alfian Othman yang juga merupakan pengurus penyanyi cilik itu berkata, ia diinspirasikan daripada gaya atlet lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

"Ramai orang tak tahu yang Tantari sebenarnya mengidolakan Azizulhasni Awang, dia memang sangat minat atlet lumba basikal negara itu, sebab itu rambutnya botak macam 'The Pocket Rocketman'.

"Senang cerita selagi Azizulhasni tak tumbuh rambut selagi itu anak saya akan botak, dia ambil semangat kesukanan dan perjuangan atlet negara itu sebagai pembakar semangat untuk menyanyi dan belajar dalam pada masa sama.

"Ramai kata botak ni sebab imej rock tapi bukan sebenarnya, kisahnya Tantari ni sangat minat Azizulhasni, pendek kata kalau apa-apa pun dia nak buat dia akan jadikan Azizulhasni sebagai contoh, kalau malas belajar ke penat sekali pun dia akan fikir Azizulhasni tak putus asa, jadi dia pun terus semangat," katanya kepada Majoriti.

2580123

Tantari merupakan penyanyi cilik berbakat negara.

Dalam pada itu, Tantari turut menyatakan sebab utama Azizulhasni Awang dijadikan idolanya.

"Semangat tak kenal putus asa," jawabnya ringkas.

Selain Achey, penyanyi yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, Selangor itu turut mengimpikan untuk berduet bersama beberapa lagi artis popular negara seperti Hazama, Tomok dan Datuk Sri Siti Nurhaliza.

Pernah menyuarakan hasrat itu kepada bapanya sebelum ini, Tantari sememangnya amat meminati lagu dan bakat suara dimiliki penyanyi berkenaan.

"Dia selalu dengar muzik rock zaman-zaman dulu macam Acik Spin, Saleem dan Ezad Lazim, tapi kalau artis sekarang yang dia minat Hazama, Tomok dan Black.

"Semua yang penyanyi bersuara tinggi dia minat macam suara dia juga la agaknya, Siti Nurhaliza dia pernah kata dulu teringin nak berduet satu hari nanti," jelas bapanya.

Meskipun minat Tantari terhadap bidang seni semakin memuncak, Alfian menjelaskan sebagai bapa akan tetap mengutamakan pelajaran anaknya.

Ujarnya, dia sentiasa memantau segala perkembangan seni anaknya dan menyeimbangkan dengan aktiviti pembelajaran di sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram