‘Ramai follower tapi berlakon kayu’, Raja Azrey mahu pastikan muka tak hensem boleh jadi hero


  • Primer
  • Khamis, 26 Sep 2024

Raja Azrey merupakan antara pelakon veteran popular negara.

LAMBAKAN artis dan pelakon meningkat naik kebelakangan ini menghangatkan lagi industri hiburan tanah air apabila dibarisi ramai muka baharu yang berbakat dan serba boleh.

‘Bagai cendawan tumbuh selepas hujan’, kemajuan platform digital turut menyumbang kepada perkara itu dengan kehadiran pelakon ‘segera’ terdiri dalam kalangan pempengaruh media sosial, semakin mendapat pasaran dalam dunia lakonan hari ini.

Rupa paras, perwatakan menarik dan jumlah pengikut ramai di media sosial dikatakan antara faktor golongan itu menjadi pilihan pengarah untuk ditawarkan sebagai tunjang utama dalam sesebuah karya di layar perak.

BACA LAGI: 'Kamu yang mulakan hingga isteri dan anaknya teraniaya', ibu Syamsul Yusof harap 'dia' segera bertaubat

BACA LAGI: Dulu Apa Celop Toq kini Oh! Makcik, satira sinikal jadi 'makanan' Taiyuddin Bakar bersama Uncure

Situasi itu serba sedikit menjejaskan ‘periuk nasi’ sebilangan pelakon sedia ada dan pandangan masyarakat yang kini semakin memandang serong terhadap kualiti pelakon tempatan yang dianggap hanya mementingkan populariti semata-mata.

Kurang bersetuju dengan hal itu, pelakon otai tanah air, Raja Azrey, 45, antara individu yang lantang bersuara berhubung landskap seni tanah air kebelakangan ini.

6314074483647954982

Raja Azrey kini bergiat aktif bekerja di belakang tabir.

Katanya, kebanyakan pelakon baharu sekarang lebih popular di laman sosial dan ia memudahkan kerja pengarah untuk menaikkan drama ataupun filem dihasilkan.

“Memang tak nafi artis sekarang semua pengikut ramai di TikTok, Instagram dan sebagainya tapi kualiti lakonan kurang bagus, ramai yang 'kayu' tapi tak semua.

“Tak kata semua macam tu tetapi mereka ni perlu diberi masa panjang untuk perhalusi mutu lakonan mereka supaya seiring dengan watak dan tugas dipertanggungjawabkan di depan kamera.

“Sebenarnya ramai yang minat nak jadi pelakon tetapi tak ada keyakinan sebab mereka anggap rupa dan populariti adalah segala-galanya, kalau semua fikir macam tu apa nak jadi pada industri kita,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, pelakon yang menempa nama menerusi filem seram Blok 404 ini sedang bergiat aktif sebagai tenaga pengajar di sebuah kelas lakonan miliknya yang dinamakan Akademi Raja Azrey (ARA).

Jelasnya, penubuhan akademi itu bertujuan untuk mengasah bakat serta menyediakan peluang buat individu yang berhajat untuk menceburi bidang lakonan secara serius.

Tidak hanya menumpukan kepada wajah maskulin dan cantik semata-mata, Raja berkata, dunia lakonan juga memerlukan perwatakan dan identiti menarik yang boleh diketengahkan sebagai watak utama dalam filem.

“Malaysia ni semua nak cari hero dan heroin 'hensem' lawa, kalau macam itu semua cerita sama je kita boleh agak dah macam mana jalan ceritanya.

“Sampai bila nak main cerita Datuk anak orang kaya, Megah Holding je dekat televisyen, sepatutnya kena kreatif untuk pelbagaikan lagi genre dengan pelakon-pelakon yang berlainan bakat.

“Tak semestinya orang tua tak boleh jadi pelakon utama, kalau kita tengok watak orang tua pun semua dimainkan pelakon sama dan ada juga yang dimekapkan untuk nampak tua, walhal ramai bakat di luar sana boleh diketengahkan,” ujarnya.

Menginspirasikan Allahyarham Mamat Khalid dan Rasyid Sibir sebagai idola dalam dunia perfileman tanah air, Raja amat menghargai dan menyanjung setiap naskhah kedua-dua insan hebat tanah air itu.

“Saya memang jiwa macam arwah Mamat Khalid, Rashid Sibir, filem mereka memang lain daripada lain malah pilihan pelakon pun kita boleh tengok sangat berlainan daripada kebiasaan.

“Filem Man Laksa arahan Mamat Khalid kita tengok yang berlakon banyak muka tak dikenali pada mulanya tetapi sangat berkesan dan berkualiti sampai buat kita tertawa.

“Ini buktinya kenapa kita perlu bagi peluang pada orang yang berbakat dan minat luar sana ceburi bidang lakonan dan itu yang apa saya cuba buat sekarang untuk ajar pelajar saya secara teori dan praktikal supaya dapat ilmu yang betul-betul mirip seperti dunia lakonan,” tambahnya.

Terdahulu, pelakon dan pengarah itu telah mengadakan majlis khas untuk malam tonton perdana dan pelancaran Telefilem Budak Cheras Vs Budak Gurun untuk meraikan peserta di akademinya.

Tayangan itu dibuat bertujuan memberi peluang peserta merasai kegembiraan dengan menonton telefilem lakonan mereka di pawagam, seolah-olah seperti pelakon profesional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram