[VIDEO] Tengku Zafrul mohon maaf tak kenal Diva AA, ajak fans Tokti serbu MITI Day 2024 pada Selasa


  • Primer
  • Isnin, 30 Sep 2024

Tangkap layar hantaran video dimuat naik Tengku Zafrul berkaitan acara tahunan MITI Day 2024 yang bakal dilangsungkan di Menara MITI, Kuala Lumpur pada 1 Oktober nanti.

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjemput orang ramai hadir memeriahkan program MITI Day 2024 yang bakal dilangsungkan di Menara MITI, Kuala Lumpur pada 1 Oktober nanti.

Menawarkan lebih 2,600 peluang pekerjaan buat belia dan pencari kerja pada acara tahunan itu, pelbagai insentif turut ditawarkan kepada wanita serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penglibatan lebih 80 syarikat tempatan dan antarabangsa pada hari terbuka terbabit.

Namun, satu hantaran video dimuat naik di laman X pada Ahad mengundang perhatian ramai apabila beliau mendakwa tidak mengenali artis dan pelakon tanah air, Azwan Ali.

BACA LAGI: Pertembungan 2 beradik berulang, Azwan Ali sedia salam Azmin Ali

BACA LAGI: [VIDEO] PRU15: Pesanan ibu punca Azwan Ali tarik diri, yakin Azmin menang besar

Terkenal dengan gelaran Diva AA, usikan dan gurauan menteri itu yang seolah-olah tidak mengenali artis berkenaan mencetuskan kekecohan apabila ia tular dan meraih perkongsian ramai.

Turut membandingkan Azwan Ali dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zafrul berkata, orang ramai berpeluang untuk berjumpa dengan penyanyi nombor satu negara itu pada program anjuran MITI tersebut.

Warganet di ruangan komen rata-ratanya terhibur dengan ciapan tersebut selain turut meminta agar menteri itu berwaspada dengan tindak balas daripada selebriti popular tersebut.

"Habis la kena kejar dengan Diva AA lepas petik nama dia ni, hahaha," kata Alipgary.

"Ini main api namanya tuan, bahaya kalau sebut Diva AA ni," ujar Sir Eito.

"Berani ye, sat lagi kena sekolahkan dengan dia, tunggu jela," tambah Mohd Dani.

Sementara itu, acara berkenaan dijangka mampu menarik lebih 10,000 pengunjung yang berpeluang memanfaatkan inisiatif kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataannya pada Jumaat berkata, beliau mahu memastikan inisiatif yang ditawarkan dapat memanfaatkan semua lapisan industri, daripada syarikat pelbagai saiz hingga kepada golongan usahawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram