PENYANYI Cliff Umar, 42, meluahkan rasa syukur atas ujian getir dan kehidupan baharu dihadapinya selepas selesai menjalani hukuman memiliki dadah pada Mei lalu.
Bekas juara rancangan realiti Gegar Vaganza musim ke-7 itu menerusi hantaran di Instagram berkata, dia akan sentiasa bangkit walau apa jua cabaran yang mendatang.
BACA LAGI: Lebih setahun 'simpan kuku', penyanyi Aizat Amdan bakal bertarung sukan Muay Thai
"Tidak kisah apa yang berlaku dalam hidup saya, sama ada menggegar pentas persembahan atau sebagai penunggang Gojek.
"Saya berterima kasih pada Tuhan kerana memberkati dengan kehidupan yang saya jalani, ia sudah tertulis, saya kehilangan agama dan cinta hati saya, Anita, yang membuatkan jiwa saya berkecai menjadi serpihan kecil.
"Tak kira berapa kali jatuh, saya akan sentiasa bangkit walau diuji, jadi lebih kuat dan lebih baik," katanya.
Cliff atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph yang juga bekas vokalis kumpulan Project Pistol itu turut mengakui segala yang berlaku adalah berpunca daripada kesilapannya tanpa dipengaruhi mana-mana individu yang membuatkannya terjerumus dalam penglibatan dadah.
Jelasnya, segala hukuman denda dan kes bicara mahkamah dihadapi telah pun selesai dan kini, penyanyi itu difahamkan bekerja sebagai penghantar makanan di negara jiran, Indonesia.
Terdahulu, Cliff didenda sebanyak RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas pertuduhan memiliki dan memberi dadah kepada dirinya sendiri.
Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman tambahan penjara selama 13 bulan sekiranya gagal bayar denda terbabit selain turut dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram