Asia setanding Hollywood, Jet Li tolak tawaran filem The Matrix, enggan seni kung fu ditiru Barat


  • Hiburan
  • Isnin, 23 Sep 2024

Jet Li (kanan) pernah menolak tawaran filem hollywood, The Matrix pada 2003.

SUDAH menjadi kelaziman masyarakat negara dipertontonkan filem aksi dari negara barat dengan barisan pelakon terkemuka yang cukup berbakat dan sinonim dengan naskhah sedemikian.

Satu ketika dahulu, bintang hollywood seperti Tom Cruise, Arnold Schwarzenegger dan Sylvester Stallone sangat diminati di serata dunia ekoran lakonan mantap dipamerkan dalam filem Barat.

Tampil dengan identiti dan kredibiliti sebagai pelakon bertaraf lima bintang, boleh dikatakan hampir kesemua filem mereka 'pecah panggung' dan meraih kutipan tinggi di pawagam.

BACA LAGI: Semerah Padi saksi karya 1,000 tahun P. Ramlee, Seniman Agung papar laungan azan pertama dalam filem Melayu

BACA LAGI: Sama macam Marvel, Sonic The Hedgehog perkenal 3 lagi varian dimensi 'multiverse'

Namun, industri perfileman di rantau Asia juga tidak kurang hebatnya apabila turut memiliki beberapa pelakon hebat yang berkebolehan melakonkan watak filem aksi.

Pernah mencetuskan fenomena di peringkat antarabangsa, pelakon yang juga merupakan bintang seni bela diri China, Jet Li, 61, sebelum ini telah ditawarkan watak sebagai tunjang utama dalam filem The Matrix pada 2003.

Merupakan satu penghormatan besar buat pelakon Asia, Jet Li atau nama sebenarnya Li Lianjie walau bagaimanapun menolak tawaran tersebut atas faktor maruah dan keperibadiannya yang dikatakan lebih penting daripada populariti.

Pakar dalam seni bela diri kung fu, Jet Li tegas menyatakan prinsipnya yang enggan gerakannya dirakamkan oleh syarikat penggambaran filem Amerika Syarikat (AS).

Ditawarkan membintangi dua filem trilogi Matrix iaitu The Matrix Reloaded dan The Matrix Revolutions, pelakon kelahiran Beijing, China itu menganggap ia satu kerugian besar jika kehilangan hak cipta seni pertahan diri kung fu yang telah dipelajarinya selama bertahun.

Enggan gerakannya ditiru dan dipamerkan di layar perak antarabangsa, Jet Li menolak tawaran tersebut meskipun sedar ia merupakan peluang terbaik untuk menyinar di hollywood.

"Ia merupakan perkara komersial bagi saya, saya sedar syarikat produksi Amerika Syarikat mahu saya terlibat dalam penggambaran selama tiga hingga sembilan bulan dan gerakan seni bela diri saya dirakamkan.

"Malah mereka mahu tiru kesemua aksi saya ke dalam platform digital kemudian di akhir rakaman, hak cipta dan pemilik gerakan itu semua diberikan kepada mereka.

"Saya terfikir bahawa saya telah berlatih sepanjang hidup untuk mahir dalam kung fu dan lambat laun saya akan semakin tua, untuk memberikan seni bela diri saya kepada mereka, saya tak boleh berbuat demikian," katanya menurut laporan Agensi.

ji

Collin Chou (tengah) menggantikan tempat Jet Li dalam filem The Matrix (2003).

Watak Seraph yang pada mulanya ditawarkan kepada Jet Li kemudiannya dilakonkan Collin Chou yang juga merupakan bintang terkemuka dari Taiwan pada era tersebut.

Sumbangan Jet Li dalam dunia perfileman dan seni bela diri mendapat pengiktirafan apabila tersenarai dalam 'Hall Of Fame' Muzium Sejarah Seni Mempertahankan Diri Dunia (Official Martial Arts Hall of Fame).

Mula ditubuhkan pada 1999, namanya tercalon antara 10 individu berpengaruh pada 2023 ekoran sumbangannya terhadap seni pertahanan diri bukan sahaja di China, malah di peringkat dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram