Asalnya lagu PLKN, sentuhan Afdlin Shauki menerusi Erti Hidup julang Dayang Nurfaizah di pentas AJL


  • Hiburan
  • Ahad, 22 Sep 2024

Afdlin Shauki merupakan antara pengarah dan pelakon terkemuka negara.

LEBIH dikenali di layar perak, siapa sangka pelakon filem Papadom (2009), Datuk Afdlin Shauki, 53, pernah mencipta lagu khas buat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 2004.

Karier seni Afdlin Shauki bermula sebagai seorang penyanyi di bawah syarikat Roslan Aziz Productions (RAP) dan mula melancarkan album sulungnya berjudul Fuuyo! pada 2003.

Namanya yang semakin mekar di persada tanah air, Afdlin kemudiannya beralih ke bidang pengacaraan sebelum mula menceburi dunia lakonan yang dikatakan kemuncak populariti kepada anak kelahiran Johor Bahru, Johor tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Dikecam kerap bagi 'kata mutiara', ramai cadang Man Raja Lawak jadi pakar motivasi, penceramah di sekolah

BACA LAGI: 'Jangan anak tirikan mereka', Michael Ang desak pemenang emas Paralimpik dapat habuan sama rata

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa sentuhan pelakon ini pernah menjulang penyanyi popular negara, Dayang Nurfaizah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-19 (AJL) pada 2005 menerusi lagu Erti Hidup.

Dayang4

Dayang Nurfaizah pernah menjuarai AJL ke-19 bagi kategori Lagu Etnik Kreatif.

Merupakan sebuah lagu bergenre pop, Erti Hidup dihasilkan oleh Afdlin Shauki dan Allahyarham Fauzi Samin bersempena dengan penganjuran program PLKN.

Namun, hasil inisiatif Dayang yang dikatakan kuat mempromosikan lagu tersebut, berjaya memuatkannya ke dalam album solo keempatnya yang berjudul Dayang Sayang Kamu (2004).

Lebih manis apabila lagu ciptaan pelawak dan pengarah terkemuka itu dinobatkan sebagai Juara bagi kategori Lagu Etnik Kreatif AJL ke-19.

Sehingga kini, karya agung itu masih menjadi siulan ramai terutamanya pelatih PLKN yang buat julung kalinya diadakan pada tahun tersebut.

Dalam pada itu, portfolio Afdlin dalam cabang seni industri tanah air dikatakan sudah merangkumi pelbagai sudut dengan gelaran pelawak, pengarah, penyanyi dan perniagaan telah dikecapinya.

Kini, Afdlin lebih giat menjalankan aktiviti kemanusiaan menerusi Yayasan Kubra dan Yayasan Pendidikan Qasimul Ulum yang membawa misi kemanusiaan di Gaza dan Syria.

Penglibatannya dalam dunia politik tidak kurang hebatnya apabila pernah bertanding bagi merebut jawatan Ketua Cabang untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2022.

Selepas lama menyepi dalam dunia perfileman tanah air, Afdlin kembali dengan naskhah terbaharunya, Baik Punya Ah Long hasil lakonan mantap duo pelawak tanah air iaitu Johan dan Zizan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram