
SIAPA sangka sisa buangan seperti plastik sampah dan bungkusan makanan mampu dijadikan sebagai barangan seni.
Namun, itu merupakan kelebihan dimiliki pelajar tahun akhir jurusan Pengiklanan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) yang sangat kreatif dalam menghasilkan barangan seni diperbuat daripada barang kitar semula.
“Saya sentiasa bersemangat untuk menghasilkan barangan kraf ataupun seni daripada pembungkusan makanan ringan kerana ia merupakan satu cabaran baharu.
"Ia sukar tetapi membolehkan saya meneroka sisi kreativiti saya yang berbeza.
"Projek itu menggabungkan kreativiti dengan kemampanan, menunjukkan bagaimana sisa buangan boleh diubah menjadi barang yang bergaya dan berfungsi," kata Siti Zulaikha Nor Ahmad Fauzi yang membuat topi dan berjaya memenangi anugerah Penciptaan Keseluruhan Terbaik.
Merupakan sebahagian daripada kursus 'Hala Tuju Seni' untuk pelajar jurusan Pengiklanan, satu pameran telah diadakan untuk mempamerkan barangan seni reka yang dicipta daripada bungkusan snek biskut Julie's untuk menarik perhatian pengunjung.
Pameran itu bertujuan menonjolkan bakat seni pelajar sambil menangani isu global dan pemuliharaan alam sekitar.
“Saya mahu mendedahkan pelajar saya kepada matlamat dunia sebenar seperti Matlamat Pembangunan Mampan dan Kitar Semula.
"Melalui projek ini, mereka bukan sahaja membangunkan kemahiran kreatif tetapi juga pemikiran kritis dan kebolehan menyelesaikan masalah," kata pensyarah TAR UMT dan ketua program komunikasi strategik, Cindy Poh Huay Yuet.
Projek kitar semula pelajar telah dinilai oleh Julie's dan diberi anugerah seperti Reka Bentuk Paling Inovatif dan Penyelesaian Praktikal Terbaik.
“Pelajar memberi kami idea yang tidak pernah kami fikirkan,” kata pengurus penjenamaan dan pemasaran Julie's , Koo Chee Cheng.
“Kerja mereka menunjukkan bagaimana pembungkusan kami boleh digunakan semula menjadi barangan harian yang berharga.
"Kami berharap ini memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk memberi kehidupan baharu kepada bahan yang mungkin dibuang," katanya.
Satu lagi kemuncak pameran itu ialah pameran 'Di Bawah Laut', yang dicipta oleh kumpulan Siti Zulaikha yang menggunakan sisa plastik untuk meningkatkan kesedaran tentang pencemaran laut.
“Seekor ikan paus besar, diperbuat sepenuhnya daripada plastik, melambangkan kesan buruk pencemaran terhadap hidupan marin.
“Kami juga ingin menunjukkan bagaimana penangkapan ikan berlebihan dan pencemaran mengancam kehidupan maritim,” kata Siti Zulaikha.
Cindy berkata, universiti itu memilih untuk bekerjasama dengan Julie's kerana imej jenamanya yang kreatif dan komitmennya terhadap kelestarian alam.
"Projek ini merapatkan jurang antara industri dan akademik, memberikan pelajar kami platform untuk menangani isu penting sambil mengembangkan kemahiran mereka," tambahnya.
Pameran yang diadakan di GMBB, Kuala Lumpur itu merupakan sebahagian daripada Pameran Sastera dan Seni KL yang berakhir pada Isnin. — The Star/HAZEL TAN YAN LING
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram