Polis siasat rakaman tular budak meraung disyaki kena dera di rumah amal GISBH


  • 112
  • Isnin, 16 Sep 2024

Tangkap layar seorang kanak-kanak didakwa didera di salah sebuah rumah amal kendalian GISBH.

TULAR satu video seorang kanak-kanak lelaki mendakwa didera di salah sebuah rumah amal kendalian Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) pada Isnin.

Menerusi video berdurasi satu minit sembilan saat itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang individu dewasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) difahamkan telah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN

BACA LAGI: Soal siasat mangsa diselamatkan dari rumah amal GISB dijangka ambil masa 2 minggu — Ketua Polis Negar

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan membuat laporan berkaitan video tersebut.

"Ada banyak lagi kes penderaan. Kita akan buat laporan untuk memulakan siasatan berhubung kes penderaan.

"Saya akan minta pegawai pasukan khas untuk membuat laporan berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata, polis juga akan mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini.

Polis dalam pada masa sama mendedahkan, pelbagai bentuk penderaan turut dialami kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi Op Global dijalankan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Terdahulu, polis mengesahkan, seramai 13 kanak-kanak yang tinggal di rumah amal yang ada kaitan dengan GISBH pernah diliwat.

Jumlah itu dapat dikenal pasti selepas pemeriksaan dilakukan sebanyak dua fasa dan mendapati kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan luka lama dan baharu.

Susulan itu, polis melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti sejauh mana mental mereka terkesan akibat perkara tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram