'ISTERI saya jelaskan ini bukan ajaran Islam yang betul, ia syirik'.
Demikian perkongsian pelakon Adam Corrie, 55, apabila nyaris terpesong dan 'sesat' dalam mendalami ilmu Islam ketika mula memeluknya pada 2008.
Pelakon yang terkenal dengan watak antagonis itu menjelaskan, isterinya merupakan insan bertanggungjawab menyelamatkannya daripada terpengaruh dengan ajaran sesat selama tempoh tiga bulan pertama dia mendalami Islam di sebuah rumah kebajikan satu ketika dahulu.
BACA LAGI: Dulu Apa Celop Toq kini Oh! Makcik, satira sinikal jadi 'makanan' Taiyuddin Bakar bersama Uncure
"Sebelum berkahwin (sudah syahadah) saya banyak jumpa guru yang nak ajar tentang Islam. Alhamdulillah, selepas nikah isteri saya betulkan segala yang tak betul, kurang tepat tentang cara hidup Islam yang mereka sampaikan.
"Isteri saya jelaskan bahawa ini bukan ajaran yang betul, ini tak boleh amalkan, ini perbuatan syirik dan banyak lagi. Isteri saya jaga saya rapat-rapat untuk elak saya terima maklumat yang tak betul tentang Islam.
"Kalau ada perempuan nak berjabat, dia cakap tak boleh lelaki perempuan bukan mahram bersalaman. Apabila sudah faham, tak sampai setahun budaya berjabat tangan tidak lagi diamalkan, Alhamdulillah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambahnya, sebagai pendatang baharu Islam, adalah penting untuk seseorang itu menyelidik dan memilih guru yang betul agar tidak terpesong akidah.
Akui bahawa tidak mudah untuk terus istiqamah dan patuh dengan cara hidup baharu, Adam tegas menyatakan kepentingan untuk memahami maksud di sebalik Islam selain bantuan serta sokongan orang sekeliling.
"Ya bukan senang daripada seorang yang sebelum ini kafir, kemudian kembali kepada fitrah untuk terus pasti tahu siapa guru yang betul.
"Pasangan mualaf amat penting membantu akidah pasangannya. Kena berjihad dan istiqamah membantu salurkan ilmu dan gaya hidup Islam yang betul di zaman yang penuh kekeliruan, kepura-puraan dan fitnah," ujarnya.
Untuk rekod, pelakon itu mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Fazima Fuad pada 21 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata selepas 10 tahun bersama.
Kini, Adam masih bergiat aktif dalam bidang lakonan selain turut berkembang maju dalam menjalankan perniagaan pakaian dan restoran miliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram