Dulu Apa Celop Toq kini Oh! Makcik, satira sinikal jadi 'makanan' Taiyuddin Bakar bersama Uncure


  • Hiburan
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Kumpulan Uncure mula bergiat aktif sejak 1996 dalam arena muzik underground tempatan.

'OH Mak Cik, berilah peluang pada ku, Oh Mak Cik, ku sayang padanya’.

Jika diimbas sekali lalu, lirik lagu berjudul Oh! Makcik nyanyian kumpulan Uncure ini saling tidak tumpah seperti kisah percintaan antara pasangan kekasih.

Namun, siapa sangka kumpulan muzik bergenre skinhead ini secara sinis cuba menceritakan tentang amalan ataupun sistem ‘kasta’ yang semakin menjadi-jadi.

BACA LAGI: Bukan saja Green Day, Maroon 5 juga sah beraksi di Malaysia pada Februari 2025

BACA LAGI: Baru berjinak karaoke, Angelina Jolie kesepian hampir setengah abad hidup tanpa ‘kawan makan kawan’

Jelas vokalis utamanya yang juga merupakan seorang pelakon, Taiyuddin Bakar, 41, menganggap setiap lirik disampaikan dalam lagu tersebut membawa makna tersirat yang lebih memfokuskan ke arah budaya kasta dalam generasi kini.

photo_2024-09-12_14-46-05

Uncure diwakili empat anggota dengan Taiyuddin (kiri) merupakan vokalis baharu bagi kumpulan tersebut.

“Lagu Oh! Makcik bukan sekadar lagu cinta antara pasangan kekasih, tetapi kalau lihat pada liriknya secara mendalam ia lebih ke arah teguran kepada masyarakat sekarang yang terikut-ikut dengan budaya kasta negara barat.

“Sebagai contoh kita tengok orang sekarang dalam perhubungan mesti berkenalan dengan pasangan dulu setahun dua, kemudian baru ibu bapanya.

“Sedangkan yang sepatutnya dalam budaya dan adat kita, perlu berkenalan dengan ibu bapanya terlebih dahulu, baru anaknya. Itu yang dinamakan adab orang Melayu.

“Lirik lagu ini bukan sahaja ditujukan kepada orang bercinta, malah dalam perniagaan ataupun pekerjaan pun wujud amalan kasta ini, ia terpulang kepada pendengar untuk menilainya.

“Muzik ini bersifat universal, jadi kalau lirik yang kami buat boleh diserap masuk ke dalam hati pendengar, maka ia akan berubah mengikut jalan cerita hidup mereka,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, kumpulan underground Uncure turut tidak ketinggalan menghasilkan sebuah lagu ditujukan khas buat saudara Islam di bumi Palestin.

Jelasnya, lagu Palestin Hak Yang Dinafikan menceritakan segala yang berlaku di Gaza.

Taiyuddin yang cukup sinonim dengan gelaran ‘Apa Celop Toq’ menerusi lakonannya dalam filem Hantu Bonceng (2011) berkata, dunia hari ini semakin lalai dengan isu keganasan dan pembunuhan yang berlaku di Palestin walaupun ia sudah bertahun berlarutan.

photo_2024-09-12_14-45-59

Salah satu babak lakonan Taiyuddin (kiri) dalam filem Hantu Bonceng.

“Lagu ini mengisahkan tentang setiap hak penduduk Gaza yang dirampas Zionis dan yang paling ketara adalah tempat tinggal mereka.

“Bahkan lebih teruk, kewujudan mereka juga seperti dinafikan dunia dengan tiada sebarang perlindungan diberikan kepada penduduk di sana, itu dah cukup menceritakan hak kehidupan mereka dirampas tanpa sebab.

“Dalam rangkap akhir lirik lagu Palestin Hak Yang Dinafikan, kami ambil daripada petikan Saidina Ali yang membawa maksud dunia penuh kezaliman, jadi umat Islam perlu mengajak seluruh manusia melakukan kebaikan dengan pelbagai cara,” tambahnya.

Untuk rekod, Uncure telah ditubuhkan pada 1996 dan popular dalam arena muzik underground tempatan.

Sepanjang 28 tahun ditubuhkan, kumpulan ini telah beberapa kali menukar anggotanya dan kini menerusi vokalis terbaharunya Taiyuddin, Uncure memasang impian untuk kembali mewarnai industri seni muzik tanah air.

EP berjudul Hak Yang Dinafikan telah dilancarkan di semua laman digital pada 17 Julai lalu.

Antara lagu yang terkandung dalam EP tersebut adalah, Palestin Hak Yang Dinafikan, Bengang, Bersama Selamanya, Bersatu dan Oh! Makcik.

Ketika ditanya soal sasaran dan misinya bersama kumpulan itu, Taiyuddin mengimpikan untuk melihat Uncure berkongsi pentas dengan kumpulan muzik orkestra dan beraksi di pentas berprestij negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram