ALAT muzik Sape yang dahulunya merupakan warisan tradisional Sarawak kini semakin berkembang maju seiring dengan peredaran zaman.
Berasal daripada kaum Orang Ulu terutamanya suku Kenyah dan Kayan di Sarawak, alat muzik berbentuk seakan gambus panjang bertali empat itu semakin dikenali dan diminati remaja di Semenanjung tanah air.
Meskipun jurang populariti Sape dikatakan berbeza jika dibandingkan dengan alatan muzik komersial lain seperti gitar dan drum, masyarakat kini semakin terbuka untuk menerima alunan muzik tersebut.
BACA LAGI: Dulu Apa Celop Toq kini Oh! Makcik, satira sinikal jadi 'makanan' Taiyuddin Bakar bersama Uncure
Namun, siapa sangka di sebalik alunan muzik tradisional ini memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri yang tidak diketahui ramai.
Jelas seorang pemain Sape terkemuka di Sarawak, Elizabeth Bungan, 34, muzik Sape memiliki maksud dan cerita rakyat berkisahkan penderitaan seorang gadis kampung yang kehilangan ibu bapanya.
"Lagu Ilun Jeput antara yang popular dalam kalangan pemuzik Sape, ia mengisahkan tentang seorang gadis Sarawak yang kehilangan kedua ibu bapanya.
"Sejak daripada kejadian itu, gadis berkenaan berkurung di dalam rumah dan enggan berjumpa dengan sesiapa pun sehingga dia terdengar alunan muzik Sape dimainkan seorang lelaki.
"Sejak dari itu, dia seolah-olah ada satu semangat dan terus melangkah keluar dari biliknya, menari atau orang sekarang kata 'healing' layankan muzik Sape," katanya kepada Majoriti.
Elizabeth merupakan seorang pemain muzik Sape di Sarawak.
Dalam pada itu, Elizabeth turut meluahkan keinginannya untuk menyaksikan peralatan muzik tradisional itu dipelajari ramai generasi muda bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh negara.
Katanya, Sape kini telah ditambah baik dengan beberapa pembaharuan yang lebih moden misalnya, jenis muzik dimainkan lebih bersifat universal dan tidak terikat dengan lagu rakyat sahaja.
"Kini, pelbagai lagu boleh dimainkan dalam bentuk muzik Sape, lagu moden dan terkenal di corong radio sering dimainkan semasa persembahan ataupun pertunjukan di acara.
"Ini semua untuk menarik minat generasi muda bermain Sape, malah jenis Sape sekarang pun dah ada yang bertali empat dan enam.
"Dahulunya Sape hanya bertali dua tetapi ia ada kaitan dengan pembawakan semangat ritual zaman nenek moyang dahulu, jadi kurang sesuai dimainkan maka ia telah ditambah baik mengikut kesesuaian zaman," ujarnya.
Elizabeth Bungan-Bungan Creative sentiasa terbuka menerima pelajar yang berminat mempelajari peralatan muzik Sape.
Dalam pada itu, wanita berdarah suku kaum Kenyah, Sarawak ini turut memiliki sebuah kelas muzik Sape yang dinamakan Elizabeth Bungan-Bungan Creative yang beroperasi di Kuching, Sarawak.
Berhajat untuk mengembangkan lagi seni muzik Sape, Elizabeth terbuka untuk menerima pelajar yang berminat mempelajar peralatan muzik itu.
Terbaharu, kumpulan pelajarnya baru selesai mengadakan persembahan sempena Jelajah Borneo pada pameran MATTA edisi ke-55 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 9 September lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram