USAI meraih pingat perak di Sukan Olimpik Paris 2024, atlet penembak wanita Korea Selatan, Kim Ye-ji bakal membuat kemunculan di layar perak tidak lama lagi.
Penampilannya pada sukan dunia tersebut sebelum ini mencuri tumpuan ramai ekoran gaya dan skil dipamerkan dikatakan saling tidak tumpah seperti pelakon pembunuh upahan.
Turut bersetuju dengan hal itu, pemilik platform media sosial X, Elon Musk sebelum ini memuji personaliti dimiliki atlet berusia 32 tahun itu yang dikatakan sesuai menjadi seorang pelakon.
BACA LAGI: Wolverine berjubah, Captain Marvel berhijab, tular komik Marvel papar adegan majlis tahlil
"Dia sepatutnya berlakon dalam filem aksi, tiada lakonan diperlukan kerana semuanya semula jadi," ciap Musk di laman X.
Penampilan Kim Ye-ji mencuri tumpuan dunia di Sukan Olimpik Paris.
Seolah-olah menjadi realiti, Ye-ji dilaporkan bakal melakonkan watak sebagai pembunuh upahan dalam sebuah filem Korea Selatan bertajuk Crush.
Filem aksi berkisarkan kebencian dan penindasan kaum itu diarahkan oleh seorang pengarah terkemuka, Lee Jung-sub dan sesi penggambaran kini sedang dijalankan.
Ye-jii bakal digandingkan dengan seorang pelakon muda berbakat India, Anushka Sen sebagai pasangan pembunuh upahan.
Hal itu dikongsikan menerusi hantaran di laman instagram Asia Lab yang memaparkan kedua-duanya berpakaian serba hitam dilengkapi senjata api.
Terdahulu, Ye-jii turut dilamar memperagakan jenama fesyen berprestij Louis Vuitton di Majalah W baru-baru ini.
Masih mengekalkan imej seorang penembak, bidang peragaan dikatakan antara cabang seni sesuai diceburi atlet kebanggaan Korea Selatan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram