MB minta rakyat Kedah patuh arahan, SOP berpindah ke PPS elak tercicir bantuan banjir RM1,000


  • Primer
  • Khamis, 19 Sep 2024

Bencana banjir melanda beberapa daerah sekitar Kedah sejak Rabu.

SETIAP Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan diberikan bantuan awal sebanyak RM1,000 ekoran banjir buruk yang melanda Kedah baru-baru ini.

Menterinya, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terkesan dengan bencana berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa terjejas banjir di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis melonjak naik 4,223 orang

BACA LAGI: Cuba rasuah polis bantuan RM500 di George Town sebab tiada permit kerja, 2 sub kontraktor warga asing direman

"Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS.

"Setakat pukul 2 petang tadi, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kota Setar (8), Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim (3) dan Kuala Muda (3) dengan seramai 3,835 mangsa termasuk 1,137 KIR ditempatkan di kesemua PPS berkenaan.

"Saya ingin menasihatkan semua individu yang terbabit agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.

Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan dan PKOB Negeri serta Daerah akan beroperasi 24 jam untuk memantau keadaan dari masa ke masa.

"Ibu bapa terutamanya awasilah anak-anak anda bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Ini adalah ujian daripada ALLAH SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak lebih mudarat dan dipermudahkan urusan bagi kita semua," ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 10 perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan angin kencang dan ombak tinggi di perairan Kuala Kedah pada Khamis.

Kesemua operasi feri bagi laluan berkenaan dibatalkan bagi hari ketiga berikutan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer perjam (km/j) serta ombak setinggi 3.5 meter.

Menurut Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, operasi berkenaan terpaksa dibatalkan kerana boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram