SEBUAH feri membawa seramai 567 orang penumpang dari Kuala Perlis, Perlis ke Pulau Langkawi, Kedah dipercayai terkandas di beting pasir dekat perairan Kuala Perlis pada Isnin.
Difahamkan, Feri Bahagia 168 itu berlepas kira-kira pukul 2.30 petang sebelum terkandas akibat air surut di sekitar kawasan berkenaan.
Perkongsian video tular di laman Facebook memaparkan insiden terbabit dengan beberapa penumpang dilihat cuba ditenangkan beberapa kru petugas feri itu.
BACA LAGI: Feri ikonik Pulau Kapas tenggelam di Butterworth
BACA LAGI: [VIDEO] Warga emas 75 tahun maut, feri 2 tingkat karam di Bahamas
Difahamkan, usaha memindahkan penumpang sedang giat dijalankan pihak pengurusan feri tersebut dengan bantuan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Namun, setakat pukul 7.30 malam, perkongsian salah seorang penumpang feri berkenaan menjelaskan keadaan laut masih lagi di paras cetek dan menyukarkan proses menyelamat dijalankan.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Baharin Baharom berkata, feri itu berlepas dari Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis ke Langkawi pada pukul 2.30 petang.
"Feri itu masih terkandas dan kami sedang berusaha untuk memindahkan penumpang kembali ke terminal jeti. Tetapi keadaan agak sukar.
"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang memantau keadaan," katanya.
Tambahnya, operasi pemindahan penumpang yang terkandas itu akan disambung semula pada pukul 8 malam bertepatan dengan air pasang.
Sementara itu, tiga perjalanan feri dari Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah ke Langkawi pada Isnin yang membawa seramai 679 penumpang terpaksa berpatah balik berikutan keadaan cuaca ribut di perairan Kuala Kedah.
Perkhidmatan yang terjejas ialah perjalanan pukul 1.30 tengah hari, 2 petang dan 2.30 petang yang membawa 120, 149 dan 410 penumpang, tambahnya.
Baharin berkata, kesemua penumpang walau bagaimanapun telah dikembalikan kos tambang tiket mereka dan ada yang dijadualkan semula perjalanan mereka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram