DUA lelaki berdepan detik cemas apabila didatangi seekor harimau belang ketika sedang memancing di sebuah kawasan hutan dekat Felda Nitar 1, Mersing, Johor pada Khamis.
Kejadian berlaku apabila kedua-dua individu berkenaan sedang leka memancing sebelum salah seorang daripadanya terserempak dengan haiwan buas itu ketika dipercayai ingin mengambil begnya.
Seolah-olah terkaku di situ, lelaki terbabit walau bagaimanapun berjaya mengawal situasi cemas tersebut sambil menerima arahan dan petua daripada rakannya di belakang.
BACA LAGI: Harimau Malaya ketiga mati tahun ini akan diawet — Perhilitan
BACA LAGI: Mati dilanggar kereta di Tapah, Harimau Malaya ke-3 maut tahun ini
Tidak panik dan melarikan diri, individu berkenaan sebaliknya diminta berundur perlahan-lahan ke belakang sambil dibacakan surah Al Fatihah dan doa agar dijauhkan daripada serangan haiwan terbabit.
Sebaik saja melihat harimau itu pergi, kedua-dua mereka kemudiannya memanjat pokok bagi tujuan keselamatan sehingga benar-benar memastikan haiwan buas itu tidak lagi berpatah semula.
Insiden berkenaan sempat dirakamkan dan dikongsikan di laman Facebook Nazrie Iskandar.
"Alhamdulillah masih dipanjangkan lagi umur mat dan memeng, pengalaman seumur hidup tengah memancing harimau datang berdepan.
"Kepada kawan-kawan mat berhati-hatilah ketika berada di dalam hutan, kita hanya mampu merancang hanya tuhan menentukan, Alhamdulillah ya ALLAH," katanya.
Dalam pada itu, di ruangan komen seorang warganet berkongsi petua berguna jika terserempak dengan haiwan buas di hutan.
"Kata orang tua-tua dulu, kalau jumpa harimau jangan lari, undur perlahan-lahan muka menghadap dia sampai kau tak nampak lagi bayang dia baru kau boleh pusing dan lari.
"Harimau tak akan menyerang kita bila berhadapan pasti dia akan serang kita dari belakang, melainkan kita ni bagi dia ancaman baru dia serang kita berdepan itu pun biasanya yang ada anak.
"Orang tua-tua kata sebab dia tak serang secara berdepan, dia pun takut juga dan dekat dahi kita ni ada kalimah ALLAH," ujar Hanafi Tangkak.
Tiada sebarang kecederaan dialami kedua-dua lelaki terbabit dengan harimau berkenaan difahamkan beredar selepas melarikan beg mereka.
Menganggap ia sebagai pengalaman sukar dilupakan, individu tersebut bersyukur kerana masih bernyawa dan menasihatkan agar orang ramai sentiasa berhati-hati ketika beraktiviti di dalam hutan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram