PENYANYI terkenal antarabangsa, Charlie Puth berkongsi berita gembira apabila memuat naik foto perkahwinan bersama wanita pilihannya, Brooke Sansone, 25, pada Selasa.
Pelantun lagu We Don't Talk Anymore itu mengumumkan bahawa dia berkahwin dengan seorang pegawai perhubungan awam dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Montecito, California, Amerika Syarikat (AS).
Penyanyi dan penulis lirik berusia 32 tahun itu menerusi hantaran di Instagram, meluahkan kata-kata romantis berhubung mahligai cinta yang baru dibinanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Yuna pernah disenarai hitam masuk Kanada gara-gara teringin piza halal
Populariti Sansone mungkin tidaklah sehebat Charlie yang sememangnya dikenali serata dunia.
Bagi peminat yang belum mengenalinya, Majoriti senaraikan beberapa pengenalan ataupun fakta menarik berhubung wanita kelahiran New Jersey, AS ini.
Sansone membesar di bandar New Jersey, sama seperti Charlie dan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda di Kolej Charleston, Selatan Carolina, AS.
Selepas tamat pengajian pada 2021, Sansone kemudiannya bekerja sebagai seorang pegawai pemasaran digital dan perhubungan awam di sebuah syarikat reka bentuk dalaman iaitu Butter and Eggs Interiors.
Selain itu, Sansone turut meminati bidang fesyen dan sering berkongsi ilmu serta perkembangan terkini berkaitan model peragaan di laman sosial Instagram yang dinamakan Thee Closet Next Door.
Malah, beberapa perkongsian di laman sosial peribadinya turut memaparkan minat dan hobinya yang gemar melancong ke pelbagai negara.
Dalam pada itu, Charlie menerusi laporan media antarabangsa berkata, hubungannya bersama isterinya sudah lama terjalin sejak di bangku persekolahan lagi.
"Saya membesar dengannya sejak sekolah, sangat gembira dapat bersama dengan seseorang yang sudah lama saya kenali dan bapa kami juga bersekolah di institusi pendidikan yang sama.
"Sejak bercinta kami memang mahu berkahwin tapi selalu tidak mempunyai waktu yang sesuai sehingga sekarang.
"Berkahwin di kediaman keluarga secara tertutup dan mengikut tradisi sangat sempurna," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram